Semua pihak wajar beri komitmen jayakan PdPR

Iklan
Ibu bapa wajar memberikan komitmen terbaik mereka dalam membudayakan norma baharu sistem pendidikan negara melalui PdPR ke satu tahap yang lebih tinggi.

SEMUA murid di seluruh negara akan kembali menjalani sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 13 dan 14 Jun ini selepas berakhirnya cuti penggal persekolahan.

Pengumuman yang dibuat Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Ahad itu memberi kelegaan kepada murid, guru dan ibu bapa yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak mereka.

Iklan
Iklan

Malah sesi persekolahan menerusi pendekatan PdPR juga boleh dikatakan sebagai norma baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia selepas negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 secara global.

Apa tidaknya, sejak negara berdepan dengan wabak yang boleh membawa maut itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengaktifkan lima sesi pembelajaran menerusi PdPR bermula pada 1 April 2020, diikuti 9 November 2020, 20 Januari hingga 28 Februari 2021, 16 Mei 2021 dan terbaharu bermula 13 Jun ini yang akan berlangsung untuk tempoh 25 hari sebelum cuti pertengahan penggal persekolahan bermula 16 Julai dan 17 Julai depan.

Iklan

Pujian wajar diberikan kepada KPM kerana pengumuman sesi pesekolahan menerusi PdPR diumumkan 10 hari lebih awal sebagaimana dijanjikan ketika penutupan operasi persekolahan sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri pada 26 April lalu.

Mohd Radzi dilaporkan berkata, KPM membuat pengumuman awal bagi membolehkan guru-guru memilih kaedah paling sesuai untuk memenuhi keperluan PdPR murid-murid dalam tempoh 10 hari berkenaan.

Iklan

"Cikgu mahu buat modul atau apa sahaja kaedah terpulang kepada kesesuaian serta kreativiti masing-masing supaya tiada keciciran berlaku sepanjang murid berada di rumah,” katanya.

Pastinya ruang diberikan itu bakal dimanfaatkan sebaik mungkin warga pendidik untuk menyediakan modul pembelajaran terbaik dan mampu menarik minat murid belajar secara dalam talian sepanjang sesi PdPR berlangsung sekali gus menghasilkan pengalaman pembelajaran yang berkesan seterusnya mencipta hubungan baik antara guru dan murid.

Namun, setiap pihak perlu akur bahawa impak PdPR tidak akan sama dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah memandangkan PdPR adalah sokongan kepada proses pembelajaran bersemuka yang tidak dapat dilaksanakan kerana sekolah ditutup akibat Covid-19.

Justeru, ibu bapa juga wajar memberikan komitmen terbaik mereka dalam membudayakan norma baharu sistem pendidikan negara melalui PdPR ke satu tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawal selia keberadaan anak-anak sepanjang sesi PdPR selain memastikan segala arahan guru dapat dilaksanakan sebaik mungkin agar objektif pembelajaran melalui PdPR mencapai matlamatnya dalam melahirkan generasi berilmu pada masa akan datang.

Begitupun, masalah prasarana sesi pembelajaran PdPR melibatkan komputer riba, tablet dan peranti sekali lagi dilihat bakal menyulitkan proses kelancaran PdDR berlangsung walaupun KPM telah mengumumkan agihan kemudahan itu kepada murid golongan B40 yang dijangka selesai pada September 2021.

Mohd Radzi berkata, sehingga kini sebanyak 12,887 komputer riba dan sambungan data diagihkan kepada murid yang layak, manakala 40,290 akan diagihkan selewat-lewatnya pada 12 Jun ini dan baki 96,823 unit selesai pada akhir September ini.

Walau bagaimanapun Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan proses agihan melalui inisiatif Cerdik itu dianggap terlalu lama dan akan menyebabkan sebilangan pelajar terbabit ketinggalan dalam proses pembelajaran PdPR nanti.

Sebaliknya, Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan meminta kerajaan mempercepat pembekalan kemudahan itu bagi memastikan mereka terus mendapat akses kepada pembelajaran semasa.

"Kementerian Pendidikan perlu menggandakan usaha untuk memastikan agihan disegerakan selewat-lewatnya Julai ini bagi memastikan tiada pelajar B40 yang bimbang akan ketinggalan mata pelajaran dan berdepan dengan kesukaran untuk melalui PdPR,” katanya.

Malah usaha menyediakan kemudahan prasarana bagi sesi pembelajaran PdPR tidak hanya terletak dibahu KPM sahaja, apabila kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaaan, syarikat-syarikat korporat, pengendali rangkaian telekomunikasi turut tampil menyalurkan bantuan berkaitan bagi memastikan kesinambungan pendidikan negara terus berjalan meskipun berdepan situasi pendemik Covid-19 yang kian mencabar.

* Zubir Sulaiman ialah Penyunting Sinar Harian