ALOR SETAR - Harga minyak masak botol khususnya bagi dua dan lima kilogram (kg) didakwa meningkat sebanyak enam kali dalam tempoh enam bulan sejak awal tahun ini.
Tinjauan Sinar Harian bersama Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip mendapati harga minyak masak botol meningkat ketara berbanding sebelum ini.
Pada Jun, harga minyak masak untuk saiz 5kg bagi jenama tertentu dikatakan naik kira-kira 20 peratus antara RM28.90 hingga RM32.90 berbanding RM26.90 pada Januari lepas.
Mohd Fauzi yang juga Pengerusi Harga Kawalan Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) berkata, pemantauannya mendapati harga minyak masak botol satu hingga 5kg di semua premis mengalami kenaikan mendadak sejak awal tahun ini.
"Sejak Januari, saya melakukan pemantauan dua hari sekali dan mendapati memang ada kenaikan harga minyak botol setiap bulan di kedai sekitar Kota Setar.
"Dari Januari hingga Jun, boleh dikatakan harga minyak masak botol naik sehingga RM6 berbanding sebelum ini malah harga minyak tidak menunjukkan penurunan dalam tempoh berkenaan," katanya.
Mohd Fauzi berkata, minyak masak peket 1kg sahaja tidak mengalami kenaikan harga apabila masih dijual pada harga RM2.50.
Pembantu jualan sebuah pasar raya, Amir Ali Abdul Hamid berkata, harga minyak masak botol untuk kesemua saiz didapati meningkat antara RM1 hingga RM2 setiap bulan sejak awal tahun ini.
Amir Ali memberitahu, antara yang mengalami kenaikan paling ketara ialah minyak masak botol 5kg iaitu dari sekitar RM25 ke atas pada Januari kepada sehingga RM32.90 pada bulan Jun.
"Kenaikan dikatakan berpunca daripada kenaikan harga kelapa sawit. Bagaimanapun, kenaikan harga barangan asas yang berlaku ini bukanlah disebabkan peniaga sebaliknya bekalan minyak masak diperoleh pada harga tinggi daripada pengilang produk itu," katanya.
Menurutnya, dia turut mendengar pelanggan mengeluh dengan kenaikan itu tetapi mereka tiada pilihan lain.
Katanya, hanya minyak masak peket 1kg tidak mengalami kenaikan harga, namun jualannya dihadkan hanya dua bungkus bagi setiap pembelian.
Sementara itu, Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, hasil pemantauan Cake di semua pasar raya dan kedai runcit seluruh Kedah mendapati harga minyak masak botol 2kg dan 5kg naik mendadak sejak dua hari lepas.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terkejut minyak masak mahal’
Harga minyak masak naik enam kali
Kerajaan digesa siasat, atasi kenaikan harga minyak masak
Minyak masak naik harga: KPDNHEP Selangor keluar 11 notis
Katanya, bagi minyak masak 5kg harganya meningkat sekitar RM4 ke RM5 untuk setiap botol.
Bagaimanapun Mohamad Yuzrizal berkata, punca kenaikan harga minyak masak terbabit masih belum dikenal pasti.
Sehubungan itu katanya, Cake menggesa semua pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mencari kaedah agar kenaikan harga minyak masak itu tidak berulang kerana akan membebankan pengguna.
"Ketika ini, pengguna terbeban dengan kos sara hidup dan kehilangan pendapatan akibat Covid-19. Minyak masak adalah salah satu keperluan kepada pengguna menyebabkan kenaikan harga menjadi satu bebanan kepada pengguna," katanya.
Tambah beliau, minyak masak bersubsidi sukar diperoleh oleh pengguna kerana stoknya terhad.
Beliau mencadangkan KPDNHEP menambah kuota kepada minyak masak bersubsidi bagi kemudahan pengguna untuk memastikan pengguna tidak terbeban.