KOTA BHARU - Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu, itulah ungkapan sesuai bagi seorang wanita apabila aktiviti melukis dan mewarna bersama cucunya sejak Jun tahun lalu kini menjadi lubuk rezeki baginya sekeluarga.
Fatmawati Yaacob, 58, berkata, beliau sama sekali tidak pernah menyangka aktiviti yang diluangkan bersama cucunya Adam Wafi Mohd Salahudin berusia lima tahun untuk mengisi masa lapang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi pulangan yang membanggakan.
Katanya, beliau sebelum ini berniaga makanan termasuk kuih apam dan nasi berlauk, namun mengambil keputusan untuk memperlahankan perniagaannya itu sejak PKP 1.0 dilaksanakan dan hanya menumpukan secara dalam talian apabila mendapat tempahan.
"Sebelum ini, saya berniaga makanan di sebuah bangsal yang terletak di Kampung Sireh, namun sejak PKP dilaksanakan saya hanya banyak menghabiskan masa di rumah selepas menghadapi beberapa kekangan.
"Sepanjang berada di rumah, saya mula mengisi masa lapang yang terluang bersama cucu saya dengan aktiviti melukis dan mewarna dan kelengkapan itu hanya dibeli di kedai RM2,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bunut Payong di sini.
Bercerita lanjut, nenek kepada 10 orang cucu itu berkata, setiap kali menyiapkan lukisan yang dihasilkan beliau akan memuat naik di Facebook miliknya.
Katanya, beliau pada awalnya tidak menyangka, setiap lukisan yang dihasilkan sering mendapat pujian serta maklum balas positif daripada rakan media sosial selain ada yang berminat untuk membeli karyanya.
"Dari situ terdetik di hati saya untuk menjadikan aktiviti ini sebagai sumber rezeki saya dan ternyata usaha itu tidak sia-sia apabila kini saya telah menghasilkan sebanyak 100 karya pelbagai tema terutamanya lukisan membabitkan pemandangan yang sering mendapat permintaan.
"Malah, minat mewarna dan melukis dari bangku sekolah yang diperoleh daripada arwah ayah, Yaacob Awang Mat, 80, yang juga seorang pelukis khat digunakan sebaiknya dalam menghasilkan seni lukisan,” katanya.
Fatmawati berkata, hampir setiap hari beliau mampu menghasilkan sebanyak dua lukisan bergantung kepada kesulitan dan saiz lukisan yang bakal dihasilkan.
"Dari segi penggunaan warna pula, saya menggunakan cat jenis akrilik untuk memastikan lukisan yang dihasilkan nampak seakan-akan ‘hidup’ selain kosnya juga tidak besar.
"Kebiasaannya saya melukis menggunakan material kanvas ataupun papan lapis dan sering menjadi pilihan adalah papan lapis kerana bahan tersebut tidak mahal selain ia juga mesra alam dan warna yang dihasilkan juga mudah digabung,” katanya.
Ujarnya lagi, karyanya itu turut mendapat permintaan pelanggan luar dari negeri Kelantan dan kebiasaannya beliau akan meluangkan sehingga lima jam sehari untuk aktiviti itu.
"Setiap lukisan dihasilkan berharga sekitar RM40 dan mampu mencecah sehingga RM400. Malah, saya juga enggan mengenakan harga yang sangat tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit untuk setiap lukisan kerana niat berniaga sambil bersedekah,” katanya. - Bernama