SHAH ALAM - Kerajaan perlu memandang serius dan menyegerakan proses agihan vaksin di Selangor selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, selain itu, wakil rakyat dan ADUN Perikatan Nasional (PN) Selangor juga perlu memainkan peranan bagi mendesak kerajaan untuk mempercepatkan proses berkenaan.
Beliau berkata, sehingga kini, ADUN PN Selangor masih belum mengeluarkan sebarang desakan berhubung perkara itu sebagaimana dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) Selangor sebelum ini.
"Perkara penting sebegini amat wajar dilakukan secara bersama oleh semua ADUN dan tidak berteraskan politik kepartian semata-mata," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Selangor kecewa dengan golongan antivaksin
Sultan Sharafuddin pada Selasa bertitah bahawa baginda terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,200 dos vaksin Covid-19 dan bukannya 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.
Baginda bertegas, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi penduduk Selangor berjumlah 6.5 juta.
Dalam pada itu, Azmizam berkata, titah Sultan Selangor itu amat bertepatan dengan situasi semasa di negeri ini dan kerajaan perlu mengambil langkah segera berhubung isu itu.
"Dalam keadaan pandemik ini, adalah amat wajar nyawa rakyat diberi keutamaan berbanding agenda-agensa lain," katanya.
Pada bulan lalu, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud turut menyarankan kerajaan agar dapat menambah jumlah pemberian vaksin buat penduduk di negeri ini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ke negeri-negeri lain.
Menurut beliau, Selangor mempunyai kepadatan penghuni yang tinggi malah kebanyakan daripada mereka juga adalah penduduk luar dan bekerja di sini.