SHAH ALAM - UMNO dan DAP enggan mengulas mengenai pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong yang didakwa sedang dalam perancangan dan bakal berlangsung selama beberapa hari bermula Rabu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau tidak boleh memberi apa-apa ulasan berkaitan pertemuan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin parti politik bakal bertemu Agong?
"Saya tidak boleh memberikan jawapan tentang itu kerana jika melibatkan surat daripada Istana, ia berstatus sulit. Jadi, sukar saya untuk mengesahkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, akhbar The Star yang memetik sumber sebagai berkata, perjumpaan berprofil tinggi itu akan dimulai dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Rabu (9 Jun), diikuti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 10 Jun, seterusnya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan UMNO pada 11 Jun.
Pada Isnin, bekas ahli UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dikenali sebagai penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ciapan Twitter menghargai perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung suatu Majlis Menghadap oleh semua ketua dari keseluruhan parti-parti politik.
Mengulas lanjut, Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Pontian enggan memberikan komen mengenai kenyataan dibuat Khairuddin itu.
"Dia (Khairuddin) bukan ahli Parlimen atau apa pun. Dia tidak ada kebertanggungjawaban yang berat, tidak ada jawatan dalam parti. Kami ini ahli Parlimen, Setiausaha Agung ada kebertanggungjawaban,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu sama, Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai juga enggan mengulas mengenai pertemuan terbabit.
"Tiada komen,” jawabnya ringkas.