Permohonan Muda cabar tindakan menteri, RoS didengar 12 Ogos

Iklan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Ogos untuk mendengar permohonan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti politik.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain apabila dihubungi pemberita selepas prosiding secara dalam talian pada Selasa di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli yang turut dihadiri Peguam Persekutuan, M Kogilambigai mewakili Menteri Dalam Negeri dan RoS.

Iklan
Iklan

"Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 5 Ogos dan responden (Menteri Dalam Negeri dan RoS) akan memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 15 Julai," kata peguam itu.

Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu, memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 26 April lepas untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang masing-masing dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

Iklan

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan RoS pada 6 Januari lepas yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah berkenaan.

Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Iklan

Pada 4 Februari, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada RoS dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lepas, namun ditolak RoS pada Januari. - Bernama