KUALA TERENGGANU –"Saya tidak pandai jadi orang tengah,” demikian reaksi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berhubung laporan sebuah portal yang mengaitkan nama beliau, pada Selasa.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi Inovasi berkata, dakwaan bahawa beliau menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan istana adalah tidak benar.
"Saya tidak reti terutama sekali dalam hal-hal seperti ini, jadi saya tidak tahu macam mana ia boleh timbul. Ini cerita tidak berasas dan saya khuatir ia bertujuan melaga-lagakan kami sesama sendiri.
"Nasihat saya, hentikan perkara tidak berfaedah seperti ini, sepatutnya dalam keadaan sekarang fokus kita adalah menangani pandemik Covid-19 dengan menyelamatkan rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Ahmad Amzad, setakat pengetahuan beliau pentadbiran Ahmad Samsuri juga berjalan dengan baik dan tiada sebarang masalah seperti didakwa.
Sebuah portal pada Selasa melaporkan, Pas dijangka hanya dapat mentadbir Terengganu satu penggal ekoran pergolakan dalaman dan isu membelit menteri besar termasuk hubungan dingin dengan istana.
Laporan itu yang memetik kata sumber parti dan penganalisis memaklumkan, isu melibatkan Ahmad Samsuri kini genting sehingga istana hampir menarik balik gelaran Datuk Seri disandang menteri besar itu.
Timbalan Menteri Sains Teknologi Inovasi, Ahmad Amzad Hashim pula terpaksa diminta menjadi orang tengah bagi meredakan ketegangan antara Samsuri dan pihak istana.