JOHOR BAHRU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka sebuah hospital medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi merawat pesakit Covid-19.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, kerja-kerja pemasangan aset ATM bermula pada Selasa dan Rabu sebelum hospital medan ini dijangka beroperasi mulai 17 Jun.
"Hospital medan ini akan dilengkapkan dengan empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 60 katil wad secara berperingkat yang ditempatkan di pekarangan hadapan bangunan induk hospital terbabit.
"ATM akan menggerakkan tiga orang pegawai dan 30 orang staf teknikal (paramedik) bagi membantu operasi serta memberi perawatan pesakit Covid-19 di hospital medan ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut Vidyananthan, pengoperasian hospital medan ini juga merupakan hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Katanya, tempoh operasi hospital medan ini akan bergantung kepada situasi Covid-19 di Johor terutama daerah Johor Bahru dan daerah berhampiran.
"Pertambahan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital terutama Johor Bahru sejak Aidilfitri lalu telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan katil khusus Covid-19 secara berterusan di wad dan ICU sehingga melebihi 95 peratus.
"Mengikut data dikeluarkan pada Ahad lalu, seramai 1,298 pesakit Covid-19 masih dirawat di negeri ini. Seramai 107 pesakit di ICU dengan 84 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.