Harga minyak mungkin tidak dapat kekal paras melepasi AS$70

Iklan

PASARAN minyak kemungkinan tidak dapat mengekalkan paras harga semasa melepasi AS$70 setong dalam jangka masa panjang kerana beberapa faktor struktural terutamanya berkaitan peralihan tenaga dan potensi bekalan yang besar daripada sumber bukan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Penolong Profesor Perniagaan dan Masyarakat Asia School of Business, Dr Renato Lima de Oliveira menjangkakan harga minyak akan bergerak tidak menentu dalam jangka pendek, bergantung kepada strategi yang diambil oleh pengeluar minyak besar dan juga dasar kerajaan yang mempromosikan peralihan tenaga.

Iklan
Iklan

"Jika kita benar-benar bergerak menuju ke arah mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 seperti yang diumumkan oleh beberapa negara dan syarikat, kita dapat menjangkakan harga minyak yang jauh lebih rendah," katanya.

Satu kaji selidik yang dilakukan baru-baru ini oleh Agensi Tenaga Antarabangsa mengunjurkan harga minyak adalah dalam sekitar AS$35 pada tahun 2030, AS$28 pada 2040 dan AS$24 pada 2050 di bawah senario sifar bersih.

Iklan

de Oliveira menyata tahun ini, harga minyak pulih melangkaui ramalan penganalisis, bersama-sama komoditi lain yang mencatat kenaikan harga yang besar iaitu tanaman makanan seperti kacang soya dan minyak sawit selain daripada logam seperti tembaga dan besi.

Beliau turut maklum lonjakan komoditi semasa didorong oleh pemulihan ekonomi yang pesat di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan China diikuti oleh dasar monetari yang longgar oleh bank pusat.

Iklan

"Justeru, dari satu sudut, kita menyaksikan kenaikan nyata dalam permintaan untuk komoditi dari negara-negara yang telah keluar daripada pandemik dan dari sudut lain pula, adanya wang murah yang ‘mengejar’ aset sebenar sebagai perlindungan terhadap inflasi.

"Bersama-sama, pergerakan ini membantu menjelaskan lonjakan harga komoditi utama, termasuk minyak," kata de Oliveira.

Niaga hadapan minyak naik ke paras tertinggi dalam tempoh lebih daripada dua tahun pada 2 Jun, dirangsang oleh prospek untuk permintaan global berikutan peristiwa di Iran yang telah menimbulkan risiko kestabilan terhadap penawaran.

Brent, penanda aras antarabangsa untuk dua pertiga daripada minyak dunia, diniagakan 2.47 peratus lebih tinggi pada AS$71.03 setong sementara niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate meningkat 3.29 peratus untuk mencecah paras AS$68.50 setong.

Peningkatan ini juga sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh OPEC dan sekutunya untuk mematuhi jadual pelonggaran pengurangan pengeluaran secara beransur-ansur bulan ini dan bulan berikutnya.

de Oliveira berkata, walaupun OPEC telah kehilangan kepentingan dalam pasaran tenaga global, ia masih menguasai sekitar 40 peratus daripada jumlah bekalan minyak.

"Dalam perjanjian yang diadakan tahun lalu, negara-negara anggota dan pengeluar penting lain seperti Rusia memutuskan untuk menghapuskan sekitar 10 peratus daripada semua bekalan di pasaran.

"Perjanjian itu sangat efektif dalam menyeimbangkan kembali pasaran, memperketatkan perbezaan antara penawaran dan permintaan," tambahnya sambil menyatakan harga minyak yang tinggi juga meningkatkan persaingan daripada pembekal minyak bukan OPEC. - Bernama