KLANG - Seramai lima individu termasuk tiga wanita ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti persundalan di dua premis di Jalan Meru Batu 5 dan Jalan Pekan Baru, di sini pada 21 Mei dan Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, dua lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh berusia 30-an ditahan dalam serbuan pertama di Jalan Meru Batu 5.
"Kita merampas beberapa plastik berisi kondom, tisu, minyak pelincir dan wang tunai," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Nurulhuda berkata, aktiviti pelacuran itu disyaki telah beroperasi lebih kurang dua atau tiga bulan lalu dengan menyasarkan pelanggan yang terdiri daripada warga asing di kawasan sekitar.
"Modus operandinya adalah dengan mencari pelanggan sendiri dan menjemput pelanggan itu ke rumahnya serta dikenakan bayaran sebanyak RM50," katanya.
Beliau berkata, serbuan kedua pula, pihaknya menahan dua wanita warga Vietnam di Jalan Pekan Baru.
"Kita juga merampas beberapa plastik berisi kondom, tisu, minyak pelincir, buku catitan dan wang tunai," katanya.
Menurutnya, suspek menggunakan aplikasi WeChat sebagai modus operandi untuk mencari pelanggan.
"Anggaran bayaran yang ditawarkan kepada pelanggan adalah RM150," katanya.
Nurulhuda memaklumkan kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 372b Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1956.
"Bagi serbuan pertama, ketiga-tiga suspek telah dituduh pada Khamis di bawah Akta Imigresen 1956 kerana tidak mempunyai dokumen diri dan tinggal lebih masa.
"Kes kedua pula, kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula Ahad hingga 19 Jun ini. Kertas siasatan akan di rujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya.