Korban nahas kereta api di Pakistan meningkat kepada 62

Iklan
Jumlah korban meningkat setelah pasukan penyelamat mengeluarkan lebih banyak mayat dari gerabak-gerabak yang remuk teruk.

ISLAMABAD - Angka kematian akibat perlanggaran dua kereta api di wilayah Sindh selatan Pakistan, awal pagi Isnin meningkat kepada 62 orang, kata seorang pegawai kerajaan pada Selasa.

Jumlah korban meningkat setelah pasukan penyelamat mengeluarkan lebih banyak mayat dari gerabak-gerabak yang remuk teruk, kata Pesuruhjaya Sukkur Shafiq Ahmed Mahesar kepada Xinhua.

Iklan
Iklan

Beliau berkata lebih 100 orang cedera dalam kemalangan itu dan dirawat di pelbagai hospital di Pano Aqil, Ghotki dan Mirpur Mathelo di wilayah itu, sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya 15 orang berada dalam keadaan kritikal.

Menurut jurucakap Pakistan Railways, Nazia Jabeen, kemalangan di daerah Ghotki di Sindh terjadi ketika Millat Express yang datang dari arah Karachi tergelincir dan jatuh ke landasan lain, manakala kereta api Sir Syed Express dari Rawalpindi di laluan bertentangan bertembung dengannya dan terbalik.

Iklan

Punca kereta api Millat Express tergelincir masih belum dipastikan.

Sekurang-kurangnya 13 gerabak daripada dua kereta api itu tergelincir dan terbalik, dan tujuh hingga lapan gerabak musnah dalam kemalangan itu, kata sumber dari Pakistan Railways kepada Xinhua.

Iklan

Sumber polis di kawasan itu mengatakan pasukan khas masih dalam proses menyiasat punca sebenar kemalangan, namun mereka percaya bahawa banyak masalah di landasan kereta api itu.

Sementara itu, pihak berkuasa juga telah membersihkan landasan berkenaan dan perkhidmatan kereta api yang dihentikan sejak awal pagi Isnin kembali beroperasi. - Bernama