Eksport Malaysia dapat manfaat daripada trend positif import China

Iklan
Eksport Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada trend positif prestasi import China memandangkan negara itu adalah destinasi eksport terbesar di Malaysia. - Gambar hiasan. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Eksport Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada trend positif prestasi import China memandangkan negara itu adalah destinasi eksport terbesar di Malaysia.

Dalam nota penyelidikan pada Selasa, MIDF Research menyatakan perdagangan luar China diunjurkan terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam beberapa bulan mendatang, disokong oleh pemulihan berterusan dalam permintaan global dan harga komoditi yang lebih tinggi.

Iklan
Iklan

"Ini akan terus menguntungkan prestasi eksport Malaysia dalam bergerak ke hadapan. Prestasi yang kuat dalam perdagangan luar berfungsi sebagai penampan kepada risiko kejatuhan permintaan domestik di Malaysia, yang dikaitkan dengan dengan sekatan yang dilaksanakan pada masa ini untuk mengekang Covid-19," katanya.

Menurut MIDF Research, lebihan dagangan China mengecil kepada AS$45.5 bilion pada 21 Mei, 2021 daripada AS$61.9 bilion pada bulan yang sama tahun lalu kerana import melonjak lebih cepat daripada eksport.

Iklan

"Eksport meningkat 27.9 peratus tahun ke tahun sementara import mengukuh 51.1 peratus tahun ke tahun. Peningkatan berterusan dalam penghantaran keluar pada 21 Mei berlaku walaupun terdapat beberapa kebimbangan termasuk pengukuhan nilai yuan, kos bahan mentah yang lebih tinggi, kekurangan cip global, kapasiti yang lebih rendah di Guangdong kerana lonjakan kes Covid-19 dan kesulitan logistik,” jelasnya.

Mengikut produk, firma penyelidikan itu berkata penjualan China meningkat untuk produk antaranya produk keluli dan nadir bumi, sementara bagi destinasi, penghantaran ke semua negara rakan dagang utama meningkat, termasuk ke ASEAN, Kesatuan Eropah, AS, Taiwan, Korea Selatan, dan Jepun.

Iklan

Bagi import pula, MIDF Research berkata, ia adalah pertumbuhan paling mantap sejak 11 Januari 2021 kerana permintaan dalam negeri mengukuh selain kesan rendah tahun lalu dengan pembelian meningkat, antaranya termasuk untuk gas asli, kacang soya dan getah. - Bernama