TUMPAT - Pas umpama membuat lawak jenaka apabila mahu pertahankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jika berlaku pengkhianatan dalam pentadbiran kerajaan PH.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak ada pun agenda mahu gulingkan Dr Mahathir.
Sebaliknya kata Mahfuz, kenyataan Pas itu adalah mahu mengalihkan perhatian siasatan isu dana RM90 juta dan audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
"Saya sangat pelik bila mereka (Pas) tiba-tiba nyatakan sokongan pada Dr Mahathir.
"Sebelum ini mereka kata Dr Mahathir macam DAP, dan pelik juga apabila Pas kata DAP nak guling Dr Mahathir.
" Pasal apa DAP nak guling Dr Mahathir pula, ini lawak jenaka Pas, cuba alihkan pandangan, tumpuan dan perbincangan orang ramai mengenai isu dana RM90 juta itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan Pas mahu pertahankan Dr Mahathir selepas Pelancaran Program Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OCH-C) di Kilang Keropok Mok Wan, Tanjung Kuala di sini, hari ini.
Antara pemimpin Pas yang menyatakan sokongan itu adalah Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.
Isu 'sokongan Pas' timbul selepas Dr Mahathir mendakwa Hadi berikrar menyokong pentadbirannya dan tidak akan menyokong UMNO pada PRK Semenyih.
Mahfuz berkata, Pas sebelum ini dan dari mulut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah berkata jika pilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri boleh membahayakan negara.
"Tetapi hari ini mereka nak pertahankan orang yang mengancam negara.
"Kenyataan Pas yang berubah-ubah itu membawa kepada pembohongan, wajib berbohong, halal berbohong berdasarkan agama ia satu yang tidak wajar," katanya.