KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menghargai jasa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika operasi menyelamat mangsa yang terlibat dalam insiden pelanggaran dua tren transit aliran ringan baru-baru ini.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Norlia Noah berkata, pihaknya memberi sijil penghargaan dan pek makanan sebagai simbolik tanda terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua badan beruniform tersebut sebelum ini.
Katanya, syarikat itu turut memberi penghargaan dan pujian kepada JBPM di atas kecekapan mereka mengendalikan operasi menyelamat mangsa yang terlibat insiden pelanggaran dua tren LRT pada 24 Mei lepas.
"Kami berharap JBPM akan terus menyokong Prasarana dalam mengendalikan operasi termasuk memberi penekanan kepada program-program latihan tindakan kecemasan, yang kerap diadakan bersama-sama dengan agensi-agensi penyelamat lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Penyerahan sijil penghargaan diberikan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Naazron Abdul Yusof dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Khairul Azuwan Ibrahim.
Dalam pada itu, Norlia berkata, pemberian pek makanan ‘Food Drop for Frontliners’ itu pula adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bermula sejak Januari lepas.
"Program Food Drop For Frontliners ini bermula dengan sumbagan pek makananan untuk para petugas barisan hadapan selama tiga hari di Hospital Besar Sungai Buloh pada 25 Januari lepas.
"Diikuti dengan anggota polis di daerah Kajang dan Hospital Besar Serdang pada awal pagi 15 April lepas dan akan diteruskan esok (Rabu) kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.