YANGON - Menteri Hal Ehwal Luar di bawah pemerintahan junta Myanmar seperti ‘syok sendiri’ apabila mempertahankan rancangan untuk memulihkan demokrasi di negara bergolak itu selepas berdepan desakan rakan sejawatannya dari Asia Tenggara supaya melaksanakan perjanjian serantau untuk meredakan konflik tersebut.
Media tempatan melaporkan Wunna Maung Lwin berkata, pemerintah junta tentera kononnya telah membuat kemajuan terhadap rancangan lima langkah untuk Yangon yang diumumkan selepas pemerintah awam yang sah digulingkan pada 1 Februari lalu.
"Beliau memberitahu rancangan itu sebagai satu-satunya cara untuk memelihara sistem demokrasi. Sebahagian besar pelan itu telah dicapai termasuk langkah pencegahan Covid-19 dan menubuhkan suruhanjaya pilihan raya baharu untuk menyiasat penipuan undi seperti didakwa junta tentera.
"Maung Lwin juga mempertahankan tindakan rampasan kuasa yang terus dibantah rakyat hingga kini,” lapor Global New Light of Myanmar pada Selasa.
Hakikatnya, pemerintah junta tentera gagal mentadbir negara itu sejak pemimpin awam termasuk Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi digulingkan, manakala tindakan kekerasan pasukan keselamatan telah meragut nyawa 849 penunjuk perasaan antirampasan kuasa dan lebih 4,500 ditahan sewenang-wenangnya.
Selain itu, pemberontakan juga dilaporkan semakin meningkat di beberapa wilayah hingga menyebabkan sebahagian besar penduduk terpaksa melarikan diri ke negara jiran.
Pemerintah junta didakwa turut mengabaikan tuntutan negara anggota ASEAN untuk menghormati konsensus yang dicapai pada akhir April lalu dan mengadakan rundingan politik bersama kumpulan penentangnya serta membebaskan tahanan politik.
Susulan sikap tidak acuh itu, para Menteri Luar Asia Tenggara telah menzahirkan kekecewaan mereka ketika mesyuarat di China pada Isnin berhubung perkembangan ‘perlahan’ yang dibuat pemerintah junta Myanmar terhadap perkara tersebut. - Agensi