[INFOGRAFIK] Baru-baru ini, laman web Global Fire Power telah mengeluarkan satu analisis berkaitan kekuatan tentera 140 buah negara di seluruh dunia bagi 2021.
Hasil analisis berkenaan, laman web tersebut meletakkan kekuatan tentera Malaysia di tangga ke-44 dengan skor berjumlah 0.7451.
Bagi kategori Asia pula kekuatan tentera Malaysia berada di tempat ke-19 manakala Asia Tenggara di tangga keenam.
Analisis tersebut mengklasifikasikan kekuatan tentera kita berada pada tahap stabil, tidak bertambah atau berkurang.
Bagaimanapun, jIka dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain, kekuatan tentera kita sebenarnya sedikit ketinggalan.
Menerusi analisis tersebut, Global Fire Power meletakkan Indonesia di tempat pertama dengan skor sebanyak 0.2684, diikuti Vietnam (0.4189), Thailand (0.4427), Myanmar (0.5621) dan Singapura (0.6931).
Status tiga negara teratas itu menunjukkan kuasa tentera mereka stabil manakala Myanmar merosot dan Singapura pula meningkat.
Filipina yang berada di belakang Malaysia mencatatkan skor 0.8217 dengan status stabil sementara Kemboja (2.2751) dan Laos (3.3003) pula dilihat sedang meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing.
Laman web tersebut menjelaskan, semakin sedikit skor diperoleh, semakin tinggi kekuatan tentera sesebuah negara itu.
Carta perbandingan di atas itu tidak memasukkan semua elemen ketenteraan melibatkan kekuatan udara, darat dan laut.
Hanya kekuatan tertentu sahaja dimuatkan dalam jadual berkenaan sebagai rujukan bagi membuat perbandingan aset ketenteraan antara negara ASEAN.
Bagi mendapatkan jumlah kekuatan tentera dan aset yang lebih lengkap, boleh rujuk laman web Global Fire Power.
Sementara itu, Global Fire Power telah meletakkan Amerika Syarikat sebagai negara yang memiliki kuasa tentera terkuat di dunia dengan skor berjumlah 0.0718, diikuti Rusia (0.0791), China (0.0854), India (0.1207) dan Jepun (0.1599).
Bagi kategori Asia pula, Rusia diletakkan sebagai negara yang mempunyai kuasa ketenteraan paling kuat, diikuti China, India, Jepun dan Korea Selatan dengan skor sebanyak 0.1612.