BERA - Seorang suri rumah, Norain Masngud mendakwa minyak masak subsidi di kedai runcit sekitar Felda Keratong, Pahang dijual pada tiga harga berlainan.
Menurut wanita itu, harga minyak masak subsidi dalam peket sekilogram (kg) itu dijual antara RM2.50 hingga RM2.70.
Iklan
Iklan
"Agak terkejutlah, kebetulan semalam (Isnin) saya ada pergi ke kedai untuk membeli barang dan melihat harga minyak masak subsidi ada dijual pada harga RM2.50, RM2.60 dan RM2.70.
"Kebetulan pihak penguat kuasa (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) datang membuat pemantauan dan meminta pemilik kedai segera menurunkan kepada harga asal iaitu RM2.50,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelasnya, harga minyak masak subsidi dijual melebihi harga siling ditetapkan itu bukan sahaja berlaku di kawasan tempat tinggalnya tetapi turut didapati berlaku di Terengganu.
"Saya ada bercakap dengan adik ipar yang tinggal di Terengganu dan dia memberitahu, perkara sama turut berlaku di sana,” katanya.
Jelasnya, pihak berkuasa perlu memantau dengan lebih kerap harga minyak masak subsidi yang dijual di kedai runcit khususnya di kawasan pedalaman bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan.