Minyak subsidi peket RM2.50 sekilogram

Iklan
Bekalan minyak masak subsidi yang dijual di salah sebuah pasar raya besar di Bukit Indah, Johor Bahru. Gambar kecil: Mohd Hairul

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menyarankan pengguna mendapatkan bekalan minyak masak subsidi sebagai pilihan alternatif susulan peningkatan harga minyak masak botol ketika ini.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro, pihaknya faham dengan dilema yang dihadapi pengguna tetapi dalam situasi sekarang, mereka mempunyai pilihan iaitu mendapatkan minyak masak subsidi peket satu kilogram (kg) pada harga RM2.50 kerana ia masih banyak dan mudah diperoleh.

Iklan
Iklan

"Bagi mengelakkan minyak ini disalah guna atau menjadi sasaran pembelian di luar kawalan, kerajaan telah mengehadkan penjualan minyak paket satu kilogram terhad tiga unit seorang sahaja dengan setiap transaksi pembelian,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, sehingga Rabu, seramai 200 anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor telah mengambil tindakan dengan membuat serahan 15 notis Seksyen 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada peruncit serta pemborong minyak masak yang menjual minyak masak pada harga yang tinggi.

Iklan

Katanya, ia bagi mendapatkan penjelasan serta maklumat kos jualan untuk mengelakkan peniaga mengambil keuntungan yang tidak munasabah.

Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan bekalan minyak masak di negeri ini masih mencukupi.

Iklan

Tinjauan di sebuah pasar raya besar di Bukit Indah di sini mendapati bekalan minyak masak subsidi boleh didapati dengan mudah.

Menurut salah seorang pekerja, walaupun berlaku kenaikan harga minyak masak, permintaan tidak terlalu terjejas dan pengguna beralih kepada minyak masak yang harganya sedikit rendah.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menyarankan pengguna mendapatkan minyak masak bersubsidi peket plastik sebagai alternatif susulan kenaikan mendadak harga minyak masak dalam botol lima kilogram ketika ini.

Rosol berkata, kualiti minyak masak dalam peket plastik satu kilogram setanding dengan minyak masak dalam botol.

Ia dijual pada harga RM2.50 1kg berbanding minyak masak botol yang harganya tidak dikawal kerajaan dan menyediakan kuota sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak dalam peket plastik 1kg setiap bulan.