KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman Program Jaya Diri (PJD) selama dua bulan bermula Jun bagi mengurangkan beban para peminjam berikutan Sekatan Pergerakan Penuh.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, penangguhan itu akan memberi manfaat kepada 2,100 peserta dengan anggaran kutipan berjumlah RM400,000 sebulan.
"Bagaimanapun bagi peserta yang tidak terjejas dan bersedia untuk membayar pinjaman, mereka boleh buat bayaran seperti biasa dan kita terima,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Hanafiah, selain penangguhan pinjaman Program Jaya Diri, kerajaan juga bersetuju untuk tidak mengenakan sewaan selama tiga bulan bermula Jun kepada semua penghuni Desa Keluarga di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu berkata, pengecualian bayaran sewa itu melibatkan 830 keluarga dengan anggaran kutipan sebanyak RM103,000 sebulan.
"Jika penghuni bersedia membuat bayaran atau telah membuat bayaran bagi tiga bulan ini, ia akan di 'carry foward' sebagai bayaran bulan berikutnya atau membayar tunggakan sewaan jika ada,” katanya.
Kata Hanafiah, dua keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat pengurusan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) pada Selasa sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat susulan Sekatan Pergerakan Penuh.