Impian miliki rumah jadi kenyataan

Iklan
Rohizan (duduk dari kiri) bersama keluarga gembira menyambut Aidilfitri di kediaman baharu mereka.

SHAH ALAM - Gema takbir 1 Syawal baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam kepada 168 keluarga di seluruh Semenanjung Malaysia kerana buat pertama kalinya meraikan bulan mulia itu di kediaman sendiri hasil Projek Baiti Jannati (PBJ) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Rata-rata penerima ceria pada pagi Aidilfitri apabila impian sekian lama untuk berhari raya bersama isteri dan anak-anak di rumah sendiri menjadi kenyataan.

Iklan
Iklan

Tahun lalu, sebanyak 168 buah kediaman telah dibina dan dapat diduduki penerima PBJ pada awal tahun ini.

Salah seorang penerima rumah PBJ, Hayazi Zakaria, 46, berkata, rumahnya yang terletak di Kampung Permatang Bongor, Simpang Empat, Perlis telah siap sebelum Aidilfitri.

Iklan

"Saya bersyukur kerana dengan adanya bantuan ini kami sekeluarga dapat beraya di rumah baharu yang cukup selesa,” katanya yang merupakan pemandu bas.

Sebelum ini, dia bersama isteri dan empat anak berusia antara 10 hingga 21 tahun, mendiami rumah pusaka di lokasi sama.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Kolam Bintong, Kangar, Perlis, Rohizan Abdul Rahman, 49, berkata, dia sekeluarga turut melahirkan kesyukuran kerana memperoleh kediaman baharu.

"Alhamdulillah, saya dan keluarga bersyukur apabila dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa selepas rumah baharu ini siap dibina pada Disember lalu.

"Saya tidak sangka menerima bantuan TNB ini. Terima kasih TNB, kalau tidak kami akan duduk di rumah sewa selamanya,” ujar bapa kepada dua anak ini yang menyewa rumah selama 32 tahun.

Hayazi (tiga dari kiri) bersama isteri dan empat anaknya meraikan Aidilfitri pada tahun ini di kediaman baharu mereka yang dibina melalui PBJ.

Dalam tempoh tersebut, mereka menyewa di merata-rata tempat termasuklah mendiami rumah usang kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

"Rumah dulu teruk, kalau hujan, air bukan sahaja masuk melalui bumbung yang bocor tetapi melalui bahagian depan kerana rumah lebih rendah dari jalan.

"Lepas surut kami kena cuci rumah, begitulah selalu, selain masalah anai-anai,” katanya.

Rumah asal Rohizan.

Kini, anak lelaki dan perempuannya yang sudah dewasa berusia 21 dan 23 tahun mempunyai bilik sendiri berbanding terpaksa tidur di ruang tamu sebelum ini kerana hanya ada sebuah bilik di rumah sewa.

Sejak tahun 2013, TNB telah membina 778 rumah melalui projek PBJ yang dikhaskan untuk para asnaf dengan kos lebih RM37.8 juta di seluruh Semenanjung.

Setiap rumah mempunyai tiga bilik dan dilengkapi bekalan air serta elektrik.