THE HAGUE - Bekas Komander Serb Bosnia, Ratko Mladic pada Selasa gagal dalam rayuan untuk menggugurkan kesalahannya kerana melakukan genosid, jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan di sebuah tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague, Belanda.
Sebelum ini, Mladic, 79, yang turut dikenali sebagai penyembelih penduduk Bosnia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2017 setelah didapati bersalah melakukan genosid, jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan semasa berlakunya Perang Bosnia dari tahun 1992 hingga 1995.
Keputusan itu dibuat oleh lima hakim Tribunal Jenayah Untuk Sisa Mekanisme Antarabangsa PBB yang membicarakan kes-kes perang dari bekas negara Yugoslavia.
Namun, keputusan yang dibuat oleh tribunal itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar lagi.
Mladic yang pernah melarikan diri lebih 10 tahun sebelum ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan pada tahun 2011 memainkan peranan penting dalam usahanya untuk menyingkirkan penduduk Muslim Bosnia dan Crotia Bosnia.
Penduduk cuba diusir keluar dari Bosnia dan Herzegovina antara Mei 1992 dan November 1995 dengan cara ganas iaitu melalui bedilan bom dan tembakan.
Mladic juga berusaha untuk menghapuskan penduduk Muslim Bosnia di Srebrenica.
Antara 11 Julai 1995 dan Oktober 1995, dia juga berhasrat untuk membunuh lelaki-lelaki dan budak-budak serta mengusir kaum wanita, golongan remaja serta tua.
Kira-kira 8,000 lelaki dan budak lelaki di Srebrenica dilaporkan dibunuh secara beramai-ramai pada tahun 1990-an. - Agensi