KOTA KINABALU - Usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam bukan penyelesaian segera kepada masalah jalur lebar di negeri ini terutama di kawasan luar bandar.
Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, kerajaan GRS perlu mendesak kerajaan Persekutuan melaksanakan segera program Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dijanjikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Sabah jika Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Katanya, janji untuk membina kira-kira 400 menara telekomunikasi baharu itu kini umpama tinggal janji sedangkan rakyat masih dihimpit masalah kemunduran telekomunikasi menyebabkan ramai pelajar tidak dapat mengikuti sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan.
"Berapa banyak komputer riba pun diberi tetapi masalah tetap tidak akan selesai jika tiada pencawang komunikasi.
"Masalah itu juga menambah tekanan kepada pelajar serta ibu bapa untuk termasuk mereka yang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan penting," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung ada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan luar bandar di Keningau tertekan untuk menjalani PdPR berikutan keadaan capaian internet yang lemah.
"Apa status janji Muhyiddin mahu melaksanakan program Jendela di Sabah yang menjadi modal PN untuk meraih undi semasa PRN dan ini yang sepatutnya dikejar oleh pemimpin GRS iaitu tuntut janji yang ditabur bukan cuma menjanjikan bulan dan bintang," katanya.
Jo-Anna dalam pada itu turut memberikan contoh insiden tiga pelajar cedera selepas jambatan gantung di Kampung Gusi, Ranau yang menjadi tempat pelajar berkumpul untuk mengakses internet runtuh hujung tahun lalu.
"Tragedi itu sepatutnya menjadi alasan kukuh untuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan kabinetnya mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) membina lebih banyak menara komunikasi di kawasan pedalaman bagi mengelakkan insiden itu berulang.
"Ada pelajar cedera akibat jambatan gantung runtuh tetapi masih belum ada menara telekomunikasi dibina di situ. Jadi bolehkah kita meletakkan harapan kepada janji Muhyiddin membina 400 menara di Sabah?" soalnya.