PRETORIA - Seorang ibu di Afrika Selatan melahirkan kembar 10 melalui pembedahan Caesarean di sebuah hospital di Pretoria pada Isnin sekali gus mencipta rekod dunia.
Ibu itu, Gosiame Thamara Sithole yang berusia 37 tahun sudah pun mempunyai anak kembar dua berusia enam tahun.
Suaminya, Teboho Tsotetsi memberitahu portal berita Pretoria News bahawa isterinya terkejut apabila melahirkan kembar 10 melalui pembedahan.
"Tujuh bayi lelaki dan tiga perempuan," katanya yang memberitahu isterinya itu hamil tujuh bulan dan tujuh hari sebelum melahirkan anak kembar itu.
Sebelum ini, isterinya itu menjangkakan akan melahirkan kembar lapan.
Pada tahun 2009, seorang ibu, Nadya Suleman di California, Amerika Syarikat melahirkan kembar lapan.
Dalam pada itu, Sithole dari Ekurhuleni berkata, dia tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan kesuburan.
Dia memecahkan rekod dunia apabila melahirkan kembar sepuluh kerana pada bulan lalu, seorang ibu dari Mali melahirkan kembar sembilan di sebuah klinik di Rabat, Maghribi. - Agensi