Penghuni Kompleks Asnaf Muip terima dos vaksin lengkap

Iklan
Salah seorang penghuni Kompleks Asnaf Muip menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan di kompleks itu pada Rabu.

KUANTAN - Golongan warga emas yang berada di pusat jagaan tidak terkecuali daripada tempias menerima cerita-cerita tidak berasas tentang keburukan pengambilan vaksin Covid-19 sehingga timbul kebimbangan dalam kalangan mereka untuk menerima suntikan.

Namun, menyedari mereka golongan yang berisiko tinggi dah mudah terdedah kepada jangkitan virus itu, rata-rata tetap memilih untuk menerima suntikan vaksin sebagai ikhtiar untuk mengelak dijangkiti.

Iklan
Iklan

Kepada penghuni Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Sungai Soi di sini, mereka tetap dengan pendirian untuk menerima vaksin biarpun ada pihak mendakwa ia membawa kesan buruk hingga boleh menyebabkan kematian.

Salah seorang penghuni, Syed Ahmad Syed Zain, 78, berkata, tidak dinafikan dia juga bimbang untuk mengambil vaksin selepas mendengar pelbagai sisi negatif mengenainya.

Iklan

Namun bagi bekas anggota tentera laut ini, segala tohmahan itu ditolak ke tepi kerana dia percaya pengambilan vaksin lebih memberi kebaikan terutama bagi golongan warga emas sepertinya.

"Selepas menerima suntikan dos pertama pada 3 Mei lalu, saya langsung tiada kesan sampingan.

Iklan

"Alhamdulillah hari ini selesai suntikan dos kedua dan keadaan saya tetap baik-baik sahaja," katanya ketika ditemui di kompleks tersebut pada Rabu.

Syed Ahmad antara 30 penghuni kompleks itu yang selesai menerima suntikan melalui inisiatif Trak Vaksin Bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.

Syed Ahmad

Sementara itu, bagi Rokiah Abdul Rahman, 47, mengakui ada kalangan kawan-kawannya memilih untuk menolak vaksin kerana takut mati.

Bagaimanapun, baginya pengambilan vaksin adalah sebagai ikhtiar mengelak jangkitan Covid-19 kerana penyakit itu boleh membawa maut.

"Saya tidak percaya vaksin ini bahaya, sebaliknya lebih membawa kebaikan sebab itu kerajaan sarankan rakyat untuk menerimanya.

"Selain untuk kebaikan diri sendiri kita juga kena akur dengan arahan kerajaan demi kepentingan bersama dan membendung penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini," katanya.

Pandangan sama dilontarkan Zainal Ariffin Zainuddin, 65, apabila memilih untuk menerima vaksin tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Katanya, perasaan bimbang tetap ada pada awalnya namun beliau lebih percaya kepada pakar kesihatan berbanding 'pakar' serba tahu di laman sosial.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Dr Rashidah Abdul Rahman menjelaskan, terdapat 14 institusi warga emas di daerah Kuantan dengan jumlah penghuni yang bersetuju dan layak menerima suntikan vaksin Covid-19 adalah seramai 254 orang.

Dr Rashidah

Menurutnya, program suntikan vaksin dos pertama bagi penghuni institusi warga emas ini dimulakan sejak 3 Mei lalu manakala sebahagian besarnya selesai menerima suntikan untuk dos kedua.

"Untuk program suntikan vaksin dos kedua hari ini melibatkan 54 warga emas dari empat institusi termasuk di Kompleks Asnaf Muip ini dan kami juga turut mengadakan suntikan dos pertama kepada 32 penghuni pusat jagaan orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Dr Rashidah berkata, ada segelintir penghuni institusi-institusi jagaan emas ini menolak untuk menerima vaksin dan ada yang ditolak atas faktor kesihatan yang tidak melayakkan mereka berbuat demikian.

"Ada yang tolak kerana waris tidak membenarkan jadi kita terima keputusan mereka kerana tiada paksaan dalam pengambilan suntikan vaksin ini.

"Cuma kita harap golongan warga emas ini faham kepentingan suntikan vaksin kerana mereka adalah golongan yang berisiko tinggi dan jika dijangkiti, komplikasinya cukup berat," katanya.