MENJEJAKKAN kaki ke Tanah Suci Makkah merupakan idaman setiap umat Islam. Sesungguhnya, kehidupan kita akan serba lengkap jika diberi kesempatan singgah ke sana.
Bagi sesetengah orang akan memilih jalan mudah. Daftar dengan ejen dan kemudian dibawa terbang ke awan biru. Namun, tidak semua begitu.
Mengapa penulis berkata demikian? Ini kerana terdapat dua hamba ALLAH dipilih oleh-Nya pergi ke Makkah dengan berbasikal dan menunggang motosikal kapcai. Ia bukan omongan, ini kenyataan.
Kepada Sinar Islam, Suliman Abd Lah dan Wazi Abdul Hamid meleraikan ceritakan yang sungguh memberi inspirasi.
Suliman memulakan bicara. Katanya, walaupun beliau pernah dua kali diugut bunuh sewaktu berada di Myanmar ketika misi Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018 (8 April hingga 25 Ogos 2018), ia bukan satu perintang untuknya.
Dan ujarnya, ia bukan sesuatu yang dahsyat kerana ada yang lebih perit daripada itu."Al-Quran terjemahan bersaiz A5 yang dibawa saya nyaris dibuang ke dalam tong sampah!," katanya.
Darjah amarah lelaki ini membuak-buak dan demi Islam, beliau lantang bersuara."This is my Bible. I don't care anything happen. Please give me back my Bible! (Ini al-Quran saya. Saya tidak kisah apa yang berlaku. Pulangkan semula al-Quran saya),". Itu lontaran amaran Suliman kepada tentera Myanmar. Kejadian itu berlaku dalam perjalanan keluar dari negara itu bagi meneruskan misinya.
Dengan pertolongan Yang Maha Esa, al-Quran itu telah dikembalikan tentera kecuali rantai pengunci basikalnya dirampas. Mereka anggap alat itu boleh dijadikan senjata berbahaya.
Selepas itu, dugaannya makin bertimpa dan ia memilukannya. Bapa kepada empat cahaya mata itu sebenarnya tidak berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ini semua gara-gara Kerajaan Arab Saudi tidak meluluskan visa haji kepada pengayuh basikal susulan kebimbangan ancaman Daesh ketika itu!
Pun begitu, beliau bersyukur kerana dapat mengerjakan umrah sebelum itu. Lebih manis lagi, Suliman sempat merasai pengalaman 10 hari terakhir Ramadan di kota suci dan seminggu berhari raya di Mekah.
Al-Quran benteng pertahanan
Bagaimana Suliman 'mempertahankan' diri sepanjang berkelana? Bukankah risikonya begitu tinggi?
Dengan nada penuh ketenangan beliau menjawab:"Sebagai pelindung diri, saya amalkan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5, ayat Kursi dan tiga ayat terakhir dalam Surah Al-Baqarah, selepas solat Subuh dan Maghrib.
"Selain itu, saya amalkan solat dhuha dan bersedekah di setiap masjid dikunjungi. Kemudian, saya akan baca al-Quran sekurang-kurangnya enam muka surat setiap hari. Bagi saya, kemanisan dalam kembara adalah apabila kita membaca al-Quran setiap hari."
Kenapa memilih berbasikal? Kepada soalan ini, beliau berkata, mengayuh basikal membuatkannya boleh melihat kebesaran ALLAH SWT, menginsafi diri, positif, bertawakal dan bergantung harap kepada ALLAH.
Ujar lelaki waja ini, kembara lebih kurang empat bulan itu mendorong dirinya mengumpul wang poket sendiri sebanyak RM10,000. Sejumlah RM7,100 untuk wang saku, manakala basikal dan peralatan lain mendapat tajaan pelbagai pihak.
Rekod kayuhannya yang menempuh perjalanan sejauh 10,000 km merentasi 10 negara bermula Malaysia kemudian menuju ke Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman dan Arab Saudi melayakkan Suliman diiktiraf dalam Malaysia Book of Records pada bulan lalu. Pada November ini, Suliman sekali lagi bakal kayuh basikal secara solo untuk misi Kembara Masjid di Jepun.
Kisah Wazi
Apa yang direntas Suliman sepanjang kembaranya, aura yang sama turut dirasai oleh Wazi menerusi misinya Ride to Hajj tiga tahun lepas.
Yang membezakannya, Wazi, 48, yang juga bekas juara Kejohanan Malaysia Cup Prix menunggang kapcai bersama empat lagi rakannya untuk ke Tanah Suci Makkah. Mereka yang terlibat adalah Meor Azahar Meor Raflan, Hanafiah Mat Noor, Othman Darus dan Azman Darus.
Akui Wazi, sememangnya pelbagai ujian terpaksa ditempuh sepanjang perjalanan dan ia bukan calang-calang.
Sepanjang misi sejauh 12,500 km, tiga daripada rakan Wazi terlibat dalam kemalangan serentak di Dera Ismail Khan, Pakistan. Salah seorang daripada mereka terpaksa meneruskan perjalanan biarpun dinasihatkan doktor untuk berehat selepas ligamen lututnya koyak.
"Ini semua gara-gara kami terpaksa menunggang motosikal selama 23 jam sehari. Akibatnya, kami kepenatan sehingga ada motosikal yang rosak, tayar pecah pun ada.
"Sebab pada masa itu, kita tiada pilihan sebab wukuf sudah dekat sangat. Kami ada dateline yang perlu diikuti," katanya yang memulakan Ride to Hajj pada 29 Julai 2016 di Kuala Lumpur dan kembali pada 23 September 2016.
Jelas Wazi, bukan setakat cabaran dari segi masa, malah ada masanya mereka berlima tidak lari daripada mengalami tekanan gara-gara terkejar-kejar waktu.
"Sampai satu tahap, ada kawan bercakap dengan pokok kerana jiwanya terlalu tertekan. Ada pula yang makan tak lalu dan ada juga yang makan sudah banyak tetapi rasa tidak kenyang.
"Sebagai ketua kumpulan, memang saya tak dapat tipu kawan-kawan apa yang saya rasa sebab semua macam dapat tahu isi hati masing-masing," ujarnya.
Tumpang lori
Lelaki ini meneruskan naratif cerita. Disebabkan kesuntukan masa, mereka terpaksa menumpang lori untuk melepasi Pakistan.
"Ada 1,600 km lagi dan kita terpaksa selesaikan dalam masa sehari atau dua hari sahaja, jadi kami tumpang lori angkat batu," katanya yang kemudian meneruskan perjalanan bermotosikal pukul 9 pagi keesokannya.
Begitu juga ketika berada di sempadan Arab Saudi. Wazi berkata, sekali lagi mereka terpaksa membuat keputusan untuk menaiki penerbangan sehingga ke Jeddah bagi membolehkan mereka menunaikan haji.
"Motosikal kami terpaksa ditinggalkan di sempadan Arab Saudi, kami tiada pilihan lain. Akhirnya kami berjaya sampai ke Jeddah menaiki kapal terbang, dua hari sebelum wukuf.
"Kami sempat menunaikan haji ifrad. Momen ini begitu indah, tidak sama macam kita pergi tempat lain," ceritanya yang berbelanja hampir RM27,000 seorang hasil dari sumbangan orang ramai sepanjang kembara mereka.
Ujar beliau, hikmah di sebalik kembara Islam mereka, Wazi melihat betapa pentingnya perancangan sepanjang perjalanan. Perlu ada pelan kontigensi!
"Walaupun mulanya dengan motosikal, namun ALLAH SWT hendak menguji kami dan akhirnya terpaksa gunakan pilihan lain untuk sampai ke tanah suci menunaikan rukun Islam kelima.
"Untuk mencapai sesuatu, kita mesti punya banyak pilihan. Jika tidak, kita akan kecewa dan gagal. Kalau kita kecewa jatuh, buat lagi dan lagi. Di situ akan ada kejayaan," ujarnya.