HelloGold terima Augerah World Islamic Fintech

Iklan
Ketua Produk HelloGold, Ita Jalaluddin mewakili syarikat menerima anugerah di Bahrin.
DALAM tempoh kurang dari dua tahun sejak aplikasi simpanan emas ini dilancarkan, HelloGold sebuah syarikat fintech Malaysia telah mencatatkan satu lagi kejayaan cemerlang apabila diiktiraf sebagai Best Islamic Wealth Management Fintech Company di Anugerah World Islamic Fintech (WIFA) 2018 yang berlangsung di Manama, Bahrin baru-baru ini.

WIFA mengiktiraf syarikat fintech yang layak dan berprestasi luar biasa bagi sektor kewangan Islam untuk kecemerlangan mereka dalam memacu perkhidmatan kewangan berlandaskan Syariah menerusi teknologi yang pesat dan kolaboratif.

Keunikan HelloGold sebagai penyedia simpanan bersandarkan aset yang patuh Syariah memberi kelebihan kepada mereka untuk mengungguli anugerah ini.

HelloGold adalah aplikasi yang membolehkan orang ramai untuk membuat simpanan dalam bentuk emas menggunakan platform mudah alih. Aplikasi ini bukan sahaja sebuah syarikat digital startup yang mempunyai produk emas berlandaskan Syariah mengikut piawaian emas Syariah AAOIFI, tetapi juga merupakan aplikasi emas patuh Syariah yang pertama di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif HelloGold, Robin Lee berkata, anugerah yang diterima itu bukti usaha dalam memberi akses simpanan berlandaskan aset dan produk pinjaman kepada orang ramai.

"Anugerah dari WIFA ini menjadi bukti usaha kami dalam memberi akses simpanan berlandaskan aset dan produk pinjaman kepada orang ramai yang tidak memiliki institusi kewangan atau yang terasing dari kepesatan pasaran, termasuklah dalam pasaran dunia Islam.

"HelloGold menggunakan teknologi blockchain untuk membolehkan pelanggan kami mendapat akses bagi produk dan perkhidmatan kewangan yang berpatutan, bermula dengan emas,” katanya.

Ia diasaskan oleh Robin Lee dan Ridwan Abdullah pada tahun 2016, HelloGold mendukung cita-cita untuk mengubah cara orang ramai menyimpan dan meminjam menerusi emas fizikal, dengan menyediakan peluang untuk mana-mana individu membeli emas gred pelaburan pada serendah RM1 (US0.25), seterusnya menjadikan emas sebagai pilihan simpanan yang bukan sahaja menarik, malah mampu dimiliki dan dicapai oleh semua.

Sejak aplikasinya dilancarkan pada April 2017, HelloGold telah menerima pelbagai anugerah, seperti Most Innovative Islamic Retail Product in 2017 oleh Islamic Retail Banking; TechMatch ASEAN 2017 dan the 2018 Prominent in Wealth, Asset & Investment Management of the Year oleh Malaysia Fintech Awards. HelloGold juga telah dicalonkan oleh The ASEAN Rice Bowl Startup Awards untuk Best Fintech Startup di Malaysia. Mereka telah dipilih untuk menyertai SuperCharger Malaysia dan D-NEXT Thailand pada 2018.

Anugerah itu diterima oleh Ketua Produk HelloGold, Ita Jalaluddin mewakili syarikat di Bahrin.

Malah beliau juga mendedikasikan pencapaian terbaharu ini kepada pasukan HelloGold yang terus fokus terhadap misi mereka untuk menjadikan simpanan emas sebagai sesuatu yang boleh diakses oleh semua pihak, meletakkan kepentingan pelanggan sebagai keutamaan dalam pembangunan produk HelloGold yang berterusan.

HelloGold kini mempunyai lebih daripada 33,000 pelanggan di Malaysia dan telah bertapak di pasaran baharu seperti Thailand, melancarkan produk simpanan emasnya sebelum akhir tahun 2018.