KUALA NERANG - Sekatan pergerakan penuh atau PKP 3.0 yang dilaksanakan sejak awal Jun ini telah menjejaskan seorang pengusaha nurseri kerana perniagaan itu tidak tersenarai dalam senarai sektor perkhidmatan perlu.
Riban Zainon, 43, dari Kampung Barokas, Kuala Nerang berkata, pendapatannya kini terputus namun masih perlu mengajikan pekerja untuk menjaga dan menyiram pelbagai jenis pokok pada setiap hari.
Menurutnya, pada PKP 1.0 dan PKP 2.0, perniagaan nurseri dibenarkan beroperasi seperti biasa berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sekali gus memberikan kelegaan kepada pengusahanya.
"Permintaan untuk membeli pelbagai jenis pokok pada PKP penuh ini ada dan ada pelanggan yang datang ke nurseri untuk membelinya, namun kami tidak boleh menjual kerana melanggar SOP.
"Saya ada juga cuba membuat penghantaran ke rumah ataupun melalui pos namun kosnya meningkat sehingga membebankan saya dan pelanggan. Lagipun, keselamatan saya juga tidak terjamin kerana perlu ke sana ke sini," katanya ketika ditemui di nurserinya pada Selasa.
Mengulas lanjut, antara pokok hiasan yang kini menjadi tumpuan adalah pokok keladi seperti miss muffet, sexy pink, pink beauty, hilo dan white queen.
"Saya percaya mereka yang setiap hari datang ke nurseri untuk membeli pokok-pokok ini adalah bagi memenuhi masa lapang kerana perlu berada di rumah sepanjang PKP penuh ini.
"Saya berharap kerajaan dapat kembali membenarkan semua nurseri di seluruh negara untuk kembali beroperasi tetapi dengan SOP yang ketat," ujarnya.
Tambahnya, pada PKP 1.0 dan PKP 2.0 sebelum ini, dia mampu menjual pelbagai spesies pokok sekitar 200 sehingga 400 pokok sehari.