Teliti alamat daftar vaksin elak salah pusat vaksinasi

Iklan
Nicole dan Hon Nam (kanan) menunjukkan laporan pertukaran alamat melalui MySejahtera yang berjaya dibantu pihak Pejabat DUN Bukit Kepayang.

SEREMBAN - Pemohon yang mendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera dinasihatkan supaya menyemak alamat dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesulitan berlaku.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan berkata, sejak minggu lalu pihaknya menerima aduan mengenai kesilapan alamat untuk menerima suntikan sehingga ke Pulau Pinang dan Melaka sedangkan pemohon menetap di Seremban.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat 10 aduan yang diterima membabitkan kesilapan alamat menerima suntikan dan mereka ini terpaksa dibuat penjadualan semula.

"Masalah sebegini hanya akan melambatkan lagi proses vaksinasi, penerima yang pada awalnya gembira untuk menerima suntikan menjadi kecewa apabila tempat untuk mengambil suntikan bukan dalam daerah sama.

Iklan

"Ada yang dapat tempat suntikan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur, sedangkan mereka semua ini tinggal di Seremban," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang itu berkata, pihaknya menasihatkan kepada semua pemohon agar menghubungi pihaknya untuk mendapatkan bantuan sekiranya berdepan dengan masalah sedemikian.

Iklan

Katanya, pihaknya akan membantu dari segi teknikal untuk membuat penjadualan semula bagi mendapatkan tarikh dan lokasi baharu mengikut daerah tempat tinggal masing-masing.

"Pemohon terutamanya golongan warga emas sering mengalami masalah ini, jadi kita sedia membantu jika mereka mempunyai masalah.

"Jika ada berlaku kesilapan lokasi yang tertera dalam aplikasi MySejahtera itu, mereka boleh menghubungi Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang untuk mendapatkan bantuan, jangan terus batalkan tarikh vaksinasi tersebut," katanya.

Sementara itu, salah seorang warga emas, Lee Hon Nam,78, memberitahu pada 23 April lalu, dia telah dipanggil menerima vaksin untuk dos pertama di Dewan Tun Ali, Melaka pada jam 11 pagi sedangkan dia tinggal di Seremban.

Namun, hasil bantuan ADUN Bukit Kepayang, dia berjaya menukar alamat dan membuat penjadualan semula pada 16 Jun ini di Klinik Kesihatan Seremban 2.

"Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk menerima vaksin bagi menjamin keselamatan pada masa akan datang,"katanya.