KOTA KINABALU - Satu sindiket yang didalangi sembilan warga asing termasuk tiga wanita berjaya mengaut keuntungan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai jenis dokumen palsu.
Sindiket yang mengenakan caj antara RM150 hingga RM500 itu tumpas dalam Ops Serkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kampung Likas, Kampung Air dan Inanam pada Sabtu dan Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, semua individu warga Filipina berusia antara 20 hingga 76 tahun itu ditahan bersama pelbagai dokumen rasmi daripada agensi kerajaan.
Beliau memberitahu, pemeriksaan menemui sebanyak 90 surat pengesahan dokumen sementara, surat pengesahan unit penempatan, resit pengenalan sementara Jabatan Ketua Menteri Sabah yang dipalsukan.
"Penguat kuasa turut menemui sebanyak 22 keping Mykad milik individu lain dan beberapa salinan sijil lahir Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah yang dipalsukan, 13 keping permit masuk IMM5 dan pas lawatan IMM13 Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dipalsukan.
"Kita turut merampas 140 keping gambar berukuran pasport selain menyita dua buah kenderaan," katanya dalam sidang akhbar di pejabat JIM Sabah, pada Rabu.
"Hasil siasatan mendapati caj yang dikenakan untuk mendapatkan dokumen terbabit bergantung pada jenis dokumen dan bahan yang digunakan serta kesukaran untuk mendapatkan dokumen terbabit.
Katanya, kesemua suspek ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) atas pelbagai kesalahan.
"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 55D iaitu bagi kesalahan pemalsuan atau pindaan pengendorsan atau dokumen, Seksyen 56(1)(j) bagi kesalahan menggunakan dokumen yang dikeluarkan kepada mana-mana orang lain dan Seksyen 56(1)(l) iaitu menggunakan atau memiliki dokumen yang palsu.
"Selain itu, mereka juga ditahan mengikut Seksyen 56(1A)(c) iaitu bersubahat atau melibatkan diri untuk melakukan kesalahan di bawah akta ini dan Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki suatu pas yang sah," katanya.
Muhamad Sade berkata, jika sabit kesalahan kesemua mereka berdepan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara tidak kurang daripada lima tahun tetapi tidak melebihi 10 tahun serta tidak lebih enam daripada sebatan.
"Bagi suspek warga asing yang memiliki dokumen palsu akan dibatalkan dan akan diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman," katanya.