KPT disaran kaji semula yuran pengajian ketika pandemik

Iklan
Irwan Fahmi Ideris

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (Prihatin) menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengkaji semula jumlah yuran pengajian di semua institut pengajian tinggi.

Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata, ia berikutan pengajian di universiti yang dibuat secara dalam talian disebabkan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain penularan wabak Covid-19 di tahap membimbangkan.

Iklan
Iklan

"Pada ketika ini pengajian pelajar di universiti dibuat secara dalam talian dan pelajar tidak dibenarkan menghadiri kelas. Oleh yang demikian, sudah tentu banyak fasiliti seperti dewan, kelas dan sebagainya tidak dapat digunakan.

"Jadi penggunaan kemudahan dan semua fasiliti di universiti ketika ini adalah pada tahap minimum. Begitu juga konvokesyen melibatkan graduan universiti yang dibuat secara maya dan tidak lagi mengadakan sambutan seperti dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Irwan Fahmi berkata, ketika ini ramai yang tidak dapat bekerja dan diberhentikan termasuklah ibu bapa serta penjaga para pelajar universiti disebabkan kesan pandemik Covid-19.

Katanya, keadaan itu amat memberi kesan yang besar kepada pelajar disebabkan kebanyakkan mereka akan menanggung hutang pembiayaan yuran pengajian pada masa akan datang.

Iklan

"Pelajar merupakan aset pembangunan negara pada masa akan datang dan pengurangan yuran pengajian sedikit sebanyak dapat membantu mereka menstabilkan kehidupan,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, Prihatin turut mengharapkan agar pihak kementerian dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan semua universiti awam termasuk universiti swasta yang yuran pengajian mereka lebih tinggi.

Tambahnya, Prihatin yakin usaha itu dapat memberi kesan yang positif dan memberi impak yang baik kepada ekonomi golongan pelajar universiti secara keseluruhan selain dapat memberi penjimatan kepada mereka.

"Diharapkan gesaan ini dapat diperhalusi oleh pihak universiti terutamanya universiti swasta,” katanya.