PKPS cadang bangunkan tanah Bukit Changgang untuk pertanian

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencadangkan agar tanah milik kerajaan negeri berkeluasan sekitar 12.14 hektar di Bukit Changgang, Banting dijadikan projek rintis kepada 30 usahawan tani dengan purata seekar bagi setiap peserta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PKPS akan menyediakan modal pusingan sebanyak RM10 juta yang akan dikendalikan menerusi usahasama strategik bersama pihak Agrobank.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PKPS menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan tani dalam tempoh lima tahun yang akan menceburi sektor pertanian merangkumi tiga kategori iaitu pengeluaran, pemasaran dan logistik.

"Program pertanian amat penting bagi merancakkan semula sektor pertanian agro-makanan sekali gus mengaktifkan semula kecekapan rantaian bekalan makanan yang terganggu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

"Untuk itu, kerajaan Selangor melalui PKPS sedang menggiatkan usaha untuk menyediakan peluang dan ruang pemasaran serta pengeluaran kepada agropreneur baharu yang berminat menceburi sektor pertanian.

"Selain itu PKPS juga akan mewujudkan beberapa outlet pemasaran kekal dan juga mudah alih bagi melengkapkan kitaran sepanjang nilai rantaian,” katanya pada sidang media pengumuman Pakej Kita Selangor 2.0 secara maya pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan PKPS akan melaksanakan Program Agro Prihatin untuk membeli hasil segar yang akan dijual semula kepada orang ramai dengan diskaun 50 peratus bagi membantu lebih 200 penternak, petani, nelayan serta orang ramai.

Ujarnya, inisiatif berjumlah RM1.5 juta itu dilaksanakan setelah memahami kesukaran yang dihadapi golongan petani, penternak dan nelayan untuk menjual hasil tanaman mereka sehingga mengakibatkan berlaku lambakan hasil segar.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan bahawa pihaknya juga akan membantu komuniti petani dan penternak meningkatkan hasil melalui beberapa jenis bantuan dengan peruntukan sebanyak RM1.93 juta.

Katanya, bantuan tersebut akan diberikan dalam bentuk bahan kawalan perosak, benih padi sah MR219, bantuan kepada usahawan Industri Asas Tani untuk mengeluarkan produk proses baharu dan usaha melabuhkan tukun tiruan serta unjam di perairan Sabak Bernam.