Mahkamah tolak permohonan ZICO batal saman Zaid

Iklan
Mohd Zaid

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menolak permohonan Zaid Ibrahim & Co (ZICO) untuk membatalkan saman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim bagi menghalang firma guaman itu daripada terus menggunakan nama beliau dalam amalan guaman dan mengembalikan nama firma tersebut kepadanya.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan bahawa adalah tidak wajar untuk melupuskan kes itu berdasarkan pliding (pernyataan bertulis secara formal tentang sebab sesuatu tindakan atau pembelaan yang dikemukakan plaintif dan defendan dalam sesuatu tuntutan mahkamah) dan keterangan afidavit sahaja.

Iklan
Iklan

Menerusi keputusan yang dikeluarkan kepada media, beliau berkata, mahkamah telah meneliti semua afidavit dan berpuas hati bahawa kedua-dua pihak bercanggah pendapat dalam pelbagai isu dan terdapat banyak fakta yang saling bertentangan.

"Justeru, satu perbicaraan hendaklah dijalankan dengan saksi dipanggil untuk memberikan keterangan secara lisan. Mereka boleh diperiksa, disoal balas dan diperiksa semula. Oleh itu, permohonan untuk membatalkan saman itu oleh defendan (ZICO) ditolak tanpa kos," katanya dalam keputusan yang dibuat melalui e-mel pada Rabu.

Iklan

Hakim itu turut menolak permohonan Mohd Zaid bagi mendapatkan injunksi interim menghalang firma tersebut daripada terus menggunakan nama beliau dalam amalan guaman sementara menunggu pelupusan samannya.

Ahmad berkata, plaintif masih boleh membuka firma sendiri di bawah namanya dengan gaya yang berbeza memandangkan beliau"meminta namanya dikembalikan” meskipun tanpa"and Co,” contohnya"Zaid Ibrahim and Associates” atau"The Chambers of Zaid Ibrahim.”

Iklan

"Plaintif tidak pernah mengemukakan bukti bahawa beliau berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan jika tidak dapat menggunakan nama Zaid Ibrahim & Co. Malahan tiada sebarang bukti yang dikemukakan bahawa plaintif sedang mengambil langkah untuk membuka sebuah firma guaman.

"Plaintif juga tidak menunjukkan sebarang keperluan mendesak bagi menghalang firma itu daripada menggunakan namanya memandangkan beliau hanya memfailkan saman itu baru-baru ini setelah sekian lama insiden tersebut berlaku," katanya.

Hakim itu berkata, sebelum ini mahkamah memutuskan bahawa selepas Mohd Zaid menjual baki sahamnya dalam firma tersebut pada 2008, bukan sahaja beliau tidak lagi menjadi rakan kongsi malah plaitif tidak lagi berminat dengan defendan.

Beliau juga berkata, jika mahkamah memberikan perintah injunksi, keputusan itu akan menjejaskan kehidupan ramai individu yang bekerja dengan defendan berjumlah 250 orang termasuk rakan kongsi, peguam dan kakitangan selain kesan advers ke atas firma induk Zico Law, sebuah rangkaian firma guaman ASEAN, serta defendan sendiri yang merupakan firma guaman terbesar di Malaysia.

Ahmad berkata, defendan sebagai firma guaman terbesar di Malaysia, juga pada bila-bila masa memiliki sejumlah wang yang banyak sebagai pemegang saham yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatannya, termasuk penjualan kapal mewah ‘Equanimity.’

"Begitulah tahap kepercayaan yang diberikan kepada firma itu dan jika perintah injunksi diberikan, akan ada potensi kerugian yang besar terhadap firma tersebut dari segi monetari, nama baik dan reputasinya yang tidak dapat diberikan pampasan oleh plaintif," katanya yang menetapkan 17 Ogos untuk pengurusan kes bagi saman itu.

Mohd Zaid diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Tan Sri Tommy Thomas hadir bagi pihak ZICO.

Pada 24 November tahun lalu, Mohd Zaid memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan terhadap ZICO bagi menghalang firma itu daripada terus menggunakan namanya dalam amalan guaman dan mahu nama firma tersebut dikembalikan kepada beliau selain injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menggunakan namanya dalam sebarang bentuk atau gaya sebagai nama firma tersebut.

ZICO dalam satu kenyataan memaklumkan firma itu menyambut baik keputusan tersebut dan akan meneruskan perniagaannya seperti biasa sebagai firma guaman terkemuka di negara ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa firma tersebut tidak pernah mempertikai hak plaintif untuk membuka firma guamannya sendiri menggunakan namanya dengan gaya berbeza. - Bernama