Agensi antirasuah Thailand siasat adik Prayut

Iklan
Preecha Chan-o-cha (kiri) berdepan dakwaan menyembunyikan aset. - Agensi

BANGKOK - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand (NACC) akan menyiasat adik lelaki Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha dan isteri atas tuduhan menyembunyikan aset.

Sumber NACC berkata, suruhanjaya itu mengundi 9-0 bahawa terdapat asas kukuh berhubung tuduhan dikenakan ke atas Jeneral Preecha Chan-o-cha.

Iklan
Iklan

Timbalan Setiausaha Agung NACC, Niwatchai Kasemmongkol sebelum itu memberitahu agensi berita Isranews bahawa pihaknya sedang dalam proses membuat kertas pertuduhan terhadap Preecha.

Tambahnya, Preecha diminta memberikan keterangan kepada NACC sebelum kes diserahkan kepada pesuruhjaya yang bakal memutuskan sama ada akan menyerahkannya kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Iklan

Preecha dituduh membuat pengisytiharan aset dan liabiliti palsu ketika berkhidmat dengan Majlis Perundangan Nasional yang dibentuk setelah Majlis Nasional untuk Keamanan dan Ketenteraman menggulingkan kerajaan pimpinan parti Pheu Thai pada tahun 2014.

Pengisytiharan palsu itu ada kaitan dengan kegagalan Preecha untuk menyenaraikan rumahnya di Phitsanulok selain tidak mendedahkan akaun bank milik isterinya, Pongpuan dalam senarai aset pasangan itu.

Iklan

Sebelum ini, Preecha berkata bahawa beliau telah menjawab semua dakwaan terbabit kepada NACC pada Januari lalu dan menyerahkan kepada undang-undang bagi menentukan dirinya bersalah atau tidak.

Pada tahun 2016, bekas Perdana Menteri wanita pertama, Yingluck Shinawatra menggesa Prayut menyiasat ahli keluarga sendiri selepas Preecha didakwa memperoleh beberapa kontrak mewah daripada rejimen tentera yang pernah diketuai bapa mereka. - Agensi