Penangguhan bayaran balik PTPTN dilanjutkan tiga bulan lagi

Iklan
Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN dilanjutkan tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 serta belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

Iklan
Iklan

"Peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 10 Jun hingga 31 Ogos dan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan diluluskan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noraini berkata, butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman itu akan diperincikan PTPTN dan berharap pengumuman itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam.

Iklan

Sebelum ini kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam dan kemudian memberi penangguhan khas bayaran balik kepada peminjam yang terkesan selama tiga bulan dari Januari hingga Mei 2021.

Sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi talian Careline PTPTN di 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang. - Bernama

Iklan