BIRO Penyelidikan Persekutuan (FBI) iaitu agensi penguat kuasa undang-undang di Amerika Syarikat (AS) mengesan mesej-mesej yang dihantar oleh para penyeludup dadah dengan menggunakan telefon bimbit khas yang dilengkapi dengan aplikasi ANOM.
Kejayaan operasi membanteras penyeludupan dadah di beberapa buah negara sejak hujung tahun 2018 adalah disebabkan oleh pihak FBI berjaya mengesan sejumlah penghantaran bahan terlarang itu apabila mengetahuinya dengan lebih awal setelah mendapat maklumat menerusi aplikasi tersebut.
Menurut AFP, aplikasi itu digunakan oleh FBI selepas agensi tersebut pada tahun 2018 menutup syarikat Phanton Secure dari Kanada yang menjual telefon bimbit yang telah diubah suai.
Telefon bimbit itu dijual untuk digunakan bagi menghantar serta menerima mesej rahsia.
Ketua syarikat itu, Vincent Ramos dan empat orang lagi turut ditangkap kerana mereka didapati membantu aktiviti penyeludupan dadah.
Ramos telah didakwa bersama rakan-rakannya kerana atas beberapa tuduhan berkaitan dengan penyeludupan dadah.
Telefon bimbit yang diubah suai itu juga pernah digunakan oleh organisasi-organisasi jenayah untuk menghantar mesej rahsia bagi mengatur urusan pengedaran sejumlah besar kokain, heroin dan methamphetamine ke kebanyakan negara termasuk AS, Australia, Mexico, Kanada, Eropah serta Thailand.
Justeru, Ramos dan empat orang lagi itu bersetuju untuk membangunkan aplikasi ANOM untuk FBI yang kemudian membayar sejumlah wang kepada mereka dengan mencipta sistem 'kunci digital utama' pada sistem tersebut.
Aplikasi ANOM dicipta bagi membolehkan ia menyalin semua mesej yang dihantar oleh penggunanya.
Mesej itu disalin dan dihantar ke sebuah server yang dikawal oleh FBI dan ia terletak di sebuah negara ketiga.
Telefon bimbit yang dilengkapi dengan aplikasi ANOM itu kemudian dijual kepada satu rangkaian pengedar telefon bimbit di pasaran gelap dengan slogan 'perkukuhkan hak peribadi anda.'
Ia dijual pada harga AS$2,000 (RM8,235) sebuah dan ia kemudian laris di pasaran pada Oktober 2018 dengan 50 buah telefon bimbit itu dijual pertama kali di Australia.
Pihak FBI kemudian bekerjasama dengan polis Australia dan pada tahun 2019, telefon bimbit yang dilengkapi dengan aplikasi ANOM itu ditemui dikebanyakan negara di dunia antaranya Jerman, Belanda, Sepanyol, Australia, Serbia dan ramai penyeludup dadah serta pengubah wang haram menggunakannya.
Ia kemudian menjadi popular dalam kalangan penjenayah-penjenayah terkenal yang mengesyorkan pula penggunaannya kepada rakan-rakan mereka manakala menurut FBI, lebih 30 pertubuhan jenayah didapati menggunakan telefon bimbit tersebut.
Berjuta-juta mesej diperoleh oleh FBI dan Australia yang sekali gus mendedahkan rangkaian jenayah global manakala Jabatan Keadilan AS menyatakan Operasi Trojan yang dilakukan pula berjaya memperoleh sejumlah maklumat jenayah yang menyebabkan 800 tangkapan telah dilakukan.
Dalam pada itu, pada Selasa lalu, beberapa pegawai di tiga buah benua mengumumkan bahawa 38 tan kokain, ganja, methamphetamine dan bahan kimia prekursor, 250 senjata api serta mata wang bernilai AS$48 juta (RM197.64 juta) dirampas dalam operasi tersebut.
Kira-kira 50 buah makmal telah ditutup dan lebih 100 rancangan pembunuhan berjaya digagalkan.
Seorang pegawai FBI, ejen Suzanne Turner berkata kepada AFP bahawa para pegawai penguat kuasa undang-undang berasa terkejut apabila melihat para penyeludup dadah itu bertukar-tukar maklumat menerusi applikasi ANOM.
"Mereka (para penyeludup dadah) percaya ia (ANOM) merupakan satu bentuk komunikasi yang selamat," katanya kepada pemberita di Washington seperti dilaporkan oleh AFP.
Bagaimanapun, beliau berkata, aplikasi itu kini tidak lagi digunakan oleh FBI kerana ia kini berdepan dengan banyak kes undang-undang.
Namun, sebuah blog yang ditulis oleh seorang penulis yang identitinya tidak diketahui menyatakan bahawa aplikasi ANOM itu menghantar data ke sebuah server yang tidak diketahui sekali gus mengancam rangkaian pembanterasan penyeludupan dadah itu. - Agensi