KUANTAN - Permintaan tinggi terhadap urat tanah dalam kalangan pemancing menggalakkan seorang nelayan memanfaatkan masa lapang dengan mencari cacing laut itu.
Abdul Hamid Mohd Hashim, 56, atau lebih dikenali sebagai Pak Dol akan turun ke Pantai Balok dengan membawa penyodok kecil dan alat yang diubahsuai daripada plastik untuk mencari cacing terbabit.
Menurutnya, urat tanah itu antara pendapatan sampingannya dan kebiasaan kerja-kerja itu dilakukan jika menerima tempahan daripada pelanggan.
"Urat tanah ini terkenal dalam kalangan kaki pancing terutama pemancing pantai kerana ia antara umpan terbaik untuk ikan gelama, jenahak, duri, dan pari," katanya ketika ditemui di Pantai Balok pada Rabu.
Pak Dol memberitahu, harga cacing itu mencecah RM5 seekor kerana sukar diperoleh tetapi dia hanya menjualnya pada harga RM3.
Urat tanah atau nama saintifiknya Sipuncula antara spesis cacing laut yang hidup di kawasan air cetek dan akan menggali ke dalam tanah atau lumpur apabila air laut surut.
Ia berwarna putih dan mempunyai ukur lilit kira-kira empat sentimeter dengan panjangnya mampu mencapai sehingga 10 sentimeter.
Pak Dol memberitahu, kebiasaannya dia hanya mencari mengikut tempahan pelanggan dan mereka hanya mahu yang masih baru dan segar.
"Paling banyak pernah saya peroleh ialah 60 ekor sehari. Selain Pantai Balok, saya juga mencari urat tanah di pantai berhampiran Pelabuhan Kuantan kerana di situ lebih banyak,” ujarnya.
Cerita Pak Dol lagi, masih ramai yang tidak mengetahui teknik menangkap haiwan itu kerana ia sangat sensitif pada pergerakan serta bayang-bayang.
Jelasnya, jika tidak berhati-hati, urat tanah akan masuk lebih jauh ke dalam tanah dan sukar untuk ditangkap.
Justeru katanya, ramai pencari urat tanah menggunakan rotan sepanjang kira-kira 10 sentimeter untuk mencucuk lubang haiwan itu.
Bagaimanapun menurut Pak Dol, dia hanya menggunakan alat daripada plastik yang diubah suai bagi memudahkannya menangkap cacing itu.
"Saya mengubahsuai plastik itu dengan membuat takuk pada hujungnya menyerupai anak panah dan berfungsi seperti mata kail.
"Jadi, sebelum mencari lubang urat tanah pastikan arah bayang tidak akan melindungi lubang selain berjalan dengan perlahan. Jika tidak, urat tanah akan masuk lebih jauh ke dalam lubangnya," katanya.