PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan Gred Purata Nasional (GPN) adalah 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, GPN tahun itu juga adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.
"Ingin saya ingatkan bahawa nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.
"Jika kita lihat GPN tahun ini adalah 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. Data ini menunjukkan bahawa pencapaian calon adalah lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding 2019.
"Analisis ini berdasarkan kepada calon yang mendaftar untuk kali pertama, untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran," katanya pada sidang akhbar khas keputusan SPM 2020 secara maya pada Khamis.
Jelasnya, secara keseluruhan, seramai 401,105 calon mendaftar dengan 381,894 calon menduduki SPM 2020 yang berlangsung dalam dua sesi pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu serta 6 hingga 23 April lalu.
Katanya, peperiksaan itu diadakan di 3,310 pusat membabitkan sebanyak 83 mata pelajaran.
"Ingin juga saya maklumkan bahawa Calon Layak Sijil SPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus bagi SPM 2020 berbanding 86.72 peratus untuk SPM 2019.
"Bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) Layak Sijil SPM, terdapat 6.88 peratus peningkatan iaitu 68.22 peratus bagi SPM 2020 berbanding 61.34 peratus untuk SPM 2019," katanya.
Radzi juga turut memberitahu keputusan peperiksaan itu boleh disemak mulai jam 10 pagi ini pada Khamis.
"Calon-calon atau ibu bapa boleh menyemak keputusan SPM 2020 ini melalui laman sesawang myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my," katanya.