Perbuatan melampau usahawan beri imej buruk terhadap Islam

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan perbuatan melakukan komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak. (Gambar kecil: Masadah)

SUNGAI PETANI - Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Kedah kesal dengan perbuatan seorang usahawan melakukan aksi lucah membabitkan kanak-kanak bawah umur yang menjadi tontonan di media sosial.

Pengerusinya, Masadah Sajadi berkata, aksi lucah ditayangkan secara langsung menerusi saluran Instagram Live itu adalah keterlaluan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aksi mengaitkan kanak-kanak berusia 14 dan 15 tahun itu bukan sahaja bertentangan dengan adab sosial, malah berlawanan dengan hukum agama.

"Jelas elemen pedofilia wujud dan dibimbangi menjadi pengaruh tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Sebagai seorang Muslim, tindakannya membawa imej buruk terutama terhadap agama Islam," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, pihak berkuasa agama sewajarnya mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan perbuatan yang bercanggah dengan syariah itu berterusan pada masa akan datang.

Menurutnya, perbualan lucah dalam laman sosial itu membuka ruang kepada kanak-kanak untuk terdedah kepada dunia pornografi yang kini sangat sukar dibendung.

Iklan

"Kita menyeru agar semua pihak dalam kalangan ibu bapa, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, ahli agama dan pemimpin politik berperanan untuk memastikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini dibanteras.

"Ia juga menjadi risiko khususnya ketika ini ramai kanak-kanak memiliki peranti telefon pintar sendiri untuk proses pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR),"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa polis meminta dua pemilik akaun Instagram iaitu Safieilyas dan Pipinatasha tampil untuk membantu siasatan berhubung siaran secara langsung menerusi aplikasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Tuan Mohd Zaid Hassan berkata, siaran langsung menerusi media sosial berkenaan didakwa mengandungi komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari pemilik IG Safieilyas, Pipinatasha