SEGAMAT - Meskipun berdepan pelbagai cabaran sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). namun ia tidak menghalang seorang calon, Saidatul Syahida Sulaiman, 18, mendapat keputusan cemerlang 9A.
Saidatul Syahida membuktikan bahawa menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian juga mampu memperoleh keputusan cemerlang, bagaimanapun perlu berusaha lebih sedikit berbanding biasa.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Dalam, Segamat itu mengakui terpaksa berdepan cabaran besar ketika sesi pembelajaran dalam talian dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.
"Banyak cabaran yang saya lalui. Seperti yang kita semua sedia maklum, sesi pembelajaran secara bersemuka lebih efektif berbanding kelas online.
"Tetapi, orang di sekeliling saya sangat memberi sokongan terutama keluarga, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang kelas online berlangsung," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Anak bongsu daripada empat beradik itu bagaimanapun tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang itu, namun mengakui sikapnya yang sentiasa berfikiran positif dan suka bersedekah sedikit sebanyak membantu.
"Selain menghormati orang sekeliling, saya juga menghormati guru dan sentiasa meminta keberkatan doa daripada mereka.
"Saya percaya amalan sedekah juga membantu kejayaan ini. Tidak kira sama ada dengan manusia atau haiwan. Contohnya kalau kita jumpa kucing di tepi jalan, sedekahlah sedikit makanan kerana rezeki ALLAH SWT itu luas. Mungkin dari situ jugalah rezeki saya mendapat cemerlang dalam SPM," ujarnya.
Selain itu, Saidatul Syahida turut menekankan kepada pelajar lain agar terus memberi sokongan dan menyertai kelas dalam talian meskipun hanya seorang sahaja yang hadir.
"Kalau cikgu-cikgu adakan kelas online, kena turut serta. Kalau ada hal yang menghalang untuk menyertai kelas online, beritahu cikgu baik-baik. Jangan biarkan kelas online yang cikgu usahakan itu kosong.
"Pernah hanya saya seorang sahaja hadiri kelas online yang cikgu buat kerana rakan lain mungkin hadapi masalah seperti liputan internet tidak berapa bagus.
"Apa pun cabaran dihadapi, saya terus fokus dan terima kasih kepada cikgu kerana masih teruskan 'Google Meet Class' walaupun hanya seorang pelajar," katanya.
Ketika ditanya mengenai masa hadapan, Saidatul Syahida berkata, dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Guru (IPG) untuk menjadi seorang pendidik.
Sementara itu, kakaknya, Saidatul Syuhada Sulaiman, 29, melahirkan rasa syukur atas kejayaan adiknya dan menganggap ia merupakan rezeki.
"Melihatkan kepayahan dan cabaran adik semasa belajar, saya anggap itu adalah pengorbanannya. Ternyata ALLAH SWT membalasnya dengan penuh kesyukuran.
"Memang dia sangat komited dalam menghadiri setiap kelas online walaupun seorang saja yang datang. Adik juga sangat menghormati cikgu dan rakan-rakan, malah dia sendiri menjadi inspirasi kepada saya," katanya yang merupakan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Segamat.
Tambahnya, sesi PdPR dalam talian memang penuh cabaran terutama bagi mereka menghadapi masalah liputan internet, bahkan penyampaian maklumat juga terbatas.
"Saya sebagai cikgu juga berdepan masalah ini apabila interaksi dalam penyampaian itu agak terbatas. 'Hands on activity' kurang menyebabkan kefahaman dalam sesuatu subjek itu agak mencabar.
"Jadi, agak mencabar buat adik untuk menjawab soalan peperiksaan SPM. Namun bagi saya, di sebalik kejayaan pelajar, cikgu banyak main peranan untuk beri yang terbaik kepada anak murid.
"Usaha pelajar juga amat penting juga untuk memotivasikan diri dan tidak patah semangat untuk menghadapi cabaran. Kita sebagai ahli keluarga sentiasa beri perangsang kepada mereka," katanya.