KOTA BHARU - Seorang petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 11 butir peluru pada Mei lalu.
Tuduhan terhadap tertuduh, Mohd Faeez Awang, 29, dibuat di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis semi auto Mod 213 sembilan milimeter (mm) Tara dan satu kelopak pistol warna perak tanpa kebenaran yang sah di Kampung Kelubi, Pasir Puteh pada jam 9.45 malam, 29 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan sebatan minimum dari enam kali.
Pada pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 11 butir peluru jenis 9 mm Luger PMC tanpa kebenaran yang sah pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dikenakan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam, peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.
Abu Arsalnaa tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana dakwaan serius yang dihadapi.
Ahmad Adha Amir Yasser bagaimanapun merayu bagi anak guamnya agar mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin.
"Tertuduh anak sulung daripada lapan beradik dan menanggung tiga adiknya yang masih bersekolah selain membantu ayahnya bekerja sebagai petani manakala ibu seorang suri rumah.
"Bapa tertuduh juga turut mempunyai masalah rabun kronik selain penyakit darah tinggi,” katanya.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin
Kes ditetapkan pada 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.