KOTA BHARU - Para petugas media Kelantan menarik nafas lega apabila menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk dos pertama di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sin, pada Khamis.
Suntikan vaksin Sinovac itu melibatkan 31 pengamal media daripada pelbagai agensi yang merupakan ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Zaini Husin berkata, suntikan kepada pengamal media itu dibuat memadangkan mereka terdedah kepada risiko jangkitan terutama setiap kali turun membuat liputan.
Menurutnya, walaupun sudah menerima suntikan, namun pengamal media diingatkan agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"JKNK akan terus berusaha memastikan setiap lapisan masyarakat menerima suntikan vaksin ini dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
"Gerak kerja itu akan dilakukan secara teliti memandangkan bekalan vaksin diterima secara berperingkat," katanya.
Sementara itu, Presdien Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) atas program suntikan vaksin kepada petugas media.
"Penantian warga media di Kelantan akhirnya tertunai selepas kami menerima suntikan vaksin dos pertama yang dianggap penting dalam usaha mengekang penularan penyakit Covid-19 yang semakin membimbangkan," katanya.
Dalam pada itu, jurugambar dari Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Zulkarnain Kamaruddin, 48 mengakui teruja menerima suntikan vaksin pertama.
Katanya, suntikan itu merupakan salah satu penghargaan dari kerajaan buat warga media yang merupakan salah satu kumpulan 'barisan hadapan'.
"Secara jujurnya kami warga media turut terdedah kepada jangkitan Covid-19 setiap kali turun ke lapangan terutamanya melibatkan kawasan berisiko tinggi Covid-19 bagi membuat liputan.
"Jadi dengan suntikan ini, kami menjadi lebih yakin untuk membuat laporan berita kepada masyarakat," katanya