SUNGAI PETANI- Seorang bapa memohon pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas individu yang memuat naik gambar dan maklumat palsu mengenai anaknya di media sosial.
Mohd Hafid Ismail, 34, dari Kodiang, Kedah berkata, hantaran di Facebook itu memaparkan tentang ketumbuhan di ketiak yang dihadapi anak, Mohammad Ammar Faris, 8, bagi tujuan memohon dana.
Menurutnya, Mohammad Ammar telah selesai menjalani pembedahan pada tahun lalu serta sudah sembuh daripada penyakit itu di mana gambar yang tular adalah gambar lama yang diambil tanpa kebenaran.
"Saya menafikan membuat hantaran tentang kutipan dana bagi pembedahan anak sedangkan anak saya sudah sembuh.
"Saya juga tidak mengenali individu terbabit serta menggesa agar tindakan diambil terhadapnya yang telah menyalahgunakan gambar anak saya untuk meraih sumbangan orang ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Hafid, anaknya kini sudah kembali pulih serta menjalani kehidupan seperti biasa.
Katanya, gambar terbabit disyaki diambil tanpa kebenaran melalui Facebook aktivis masyarakat, Natipah Abu yang turut menjadi mangsa penyebaran maklumat palsu tersebut.
Laporan polis dibuat Mohd Hafid di Balai Polis Kodiang pada 7 Jun kira-kira jam 5.40 petang.
Pendedahan dibuat agar orang ramai tidak terperdaya dengan aktiviti penipuan dalam talian khususnya bagi mengutip dana tabung kebajikan yang tidak wujud.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penafian seorang aktivis masyarakat yang didakwa mempunyai anak menghidap sakit kronik sepertimana tular di media sosial.
Natipah Abu, 48, berkata, gambar dan kisah mengenai dirinya menjadi tular apabila dikaitkan dengan dua kes kanak-kanak sakit kronik yang dimuat naik seorang pengguna Facebook yang tidak dikenali.
ARTIKEL BERKAITAN: Aktivis masyarakat nafi anak hidap sakit kronik