Kosongkan tangki septik: IWK

Iklan
Infografik Indah Water.

SHAH ALAM - Tangki septik yang tidak diselenggara dan dikosongkan menjadi salah satu faktor utama kepada punca pencemaran sumber air khususnya sungai dan sistem perairan.

Sistem pembetungan jenis tangki septik individu merupakan sebuah tangki mendapan bagi menakung air sisa daripada aktiviti di rumah seperti air mandi, basuhan baju, tandas dan cucian pinggan mangkuk yang dialirkan masuk ke dalam tangki tersebut.

Iklan
Iklan

Setiap tangki septik memerlukan penyelenggaraan berterusan dan pengosongan secara berjadual amat penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar tepelihara.

Kerja-kerja nyahenap cemar juga mampu menghindarkan masyarakat umum daripada terdedah kepada penyakit bawaan air seperti taun, hepatitis dan sebagainya.

Iklan

Pada masa sama, sumber air yang tidak tercemar dengan air kumbahan akan meningkatkan kualiti air sungai sebagai sumber air mentah sekali gus dapat mengurangkan kos rawatan air bersih.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta tangki septik di seluruh negara dan kebanyakannya digunakan di premis-premis yang terletak di pinggiran bandar, pekan kecil atau premis dan rumah yang telah berusia lebih daripada 25 tahun.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Narendran Maniam berkata, daripada jumlah tangki septik tersebut, kurang daripada 10 peratus pemilik atau penggunanya yang melakukan pengosongan secara berjadual.

"Jumlah ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana kita tidak mahu pencemaran daripada air kumbahan berterusan berlaku kepada sumber air negara.

"Malangnya, ramai pengguna tidak sedar terhadap kepentingan mengosongkan tangki septik kerana mungkin merasakan ia bukan tanggungjawab mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, kerja-kerja nyahenap cemar dari tangki septik ini sebaik-baiknya perlu dilakukan apabila tangki hampir penuh atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.

"Menyedari hakikat ini, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air baru-baru ini telah menwartakan satu peraturan baharu yang dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang menumpukan kepada keperluan pengosongan tangki septik secara berjadual di seluruh negara.

"Warta kerajaan Persekutuan ini telah berkuatkuasa pada Mac lalu dan menetapkan bahawa pemilik atau penghuni mestilah bertanggungjawab memastikan tangki septik mereka berada dalam keadaan baik," katanya.

Melalui warta ini, beliau berkata, IWK sebagai syarikat pembetungan nasional akan menguruskan penjadualan nyahenap cemar ke atas premis-premis yang bersambung dengan tangki septik dengan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengguna.

Katanya, notis pemberitahuan ini bertujuan untuk menjadualkan tarikh perkhidmatan nyahenap cemar yang akan dilakukan IWK dan akan dikeluarkan sebanyak dua kali sebagai peringatan.

"Melalui warta ini, IWK dikehendaki memaklumkan kepada pihak kawalselia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) jika pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis gagal memberikan akses kepada IWK untuk menyebabkan tangki septik itu dinyahenap cemar selepas notis bertulis kedua dikeluarkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Narendran berkata, IWK akan mula membuat penghantaran notis penjadualan nyahenap cemar mulai Jun ini secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Katanya, selain membuat penjadualan bagi perkhidmatan ini, pemilik tangki septik juga boleh meminta perkhidmatan IWK secara responsif, terutama apabila tangki septik mereka memerlukan pengosongan lebih cepat daripada tarikh yang telah dijadualkan.

"Sebenarnya tangki septik ini bukanlah seperti loji rawatan kumbahan yang mempunyai peralatan mekanikal. Tangki septik bertindak sebagai tangki mendapan dan apabila air sisa kumbahan masuk ke dalamnya, ia akan pecah menjadi partikel kecil dan mendap di dasar tangki.

"Jadi, apabila tangki septik tidak dikosongkan, partikel yang masuk setiap hari akan bertambah dan akhirnya memenuhi ruang di dalam tangki. Jika perkara ini berterusan, partikel-partikel ini akan mengeras seperti batu.

"Apabila ini berlaku, tiada lagi proses rawatan di dalam tangki septik berkenaan, sebaliknya air sisa yang baharu hanya akan melalui ruang tangki dan mungkin akan terus melimpahi longkang, perairan dan alam sekitar,” jelasnya.

Menurut warta berkenaan, mana-mana pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni premis yang tidak mematuhi arahan notis bertulis kedua daripada IWK, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh di denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan.