KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak menggalakkan ibadah korban dijalankan ketika Hari Raya Aidiladha dalam usaha mengekang penularan Covid-19 memandangkan ia akan melibatkan aktiviti berkumpulan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, aktiviti berkumpulan akan memberi risiko kepada penularan pandemik tersebut walaupun masing-masing diminta untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP), penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.
"Kita bimbang, masa Hari Raya Aidiladha nanti akan berlakunya ibadah korban sekali gus membabitkan aktiviti berkumpulan.
"Sebagai contoh jika ibadah korban membabitkan seekor lembu, sekurang-kurangnya ia akan dihadiri 10 individu untuk acara penyembelihan dan lapah daging.
"Pada masa sama, daging-daging tersebut perlu diagihkan dan secara tidak langsung akan ada pula pergerakan di situ nanti," katanya ketika dihubungi kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, disebabkan alasan yang sama itu juga kerajaan negeri menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan ibadah korban mega yang melibatkan pengurusan yang ramai.
Beliau berkata, kebimbangan tersebut adalah berdasarkan kes-kes penularan pandemik itu yang masih tinggi di negeri ini selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
"Walaupun kes sudah menunjukkan angka menurun, tetapi kami masih bimbang dan jangan sesekali lalai serta leka memandangkan ia boleh naik bila-bila masa jika kita 'lupakan' SOP," katanya.