SHAH ALAM - UMNO menegaskan parti itu tidak pernah menuntut pelaksanaan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebaliknya hanya mahu darurat ditamatkan.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kepimpinan parti secara konsisten menuntut lima perkara utama termasuk menamatkan darurat memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih belum berkurangan kepada dua angka walaupun sudah hampir enam bulan ia dilaksanakan.
Menurutnya, UMNO menuntut supaya kuasa darurat di bawah Ordinan Darurat dimanfaatkan untuk membantu rakyat dengan pelbagai bantuan seperti i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 selain mengawal harga barang.
"Hal ini termasuk mengarahkan bank untuk tawarkan moratorium tanpa caj atau faedah tambahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara total, bukan separa masak.
Katanya, Parlimen perlu dibuka untuk mempertahankan semangat dan prinsip demokrasi agar ada akauntabiliti terhadap segala keputusan kerajaan.
"Seperti perbelanjaan wang rakyat, penggunaan Kumpulan Wang Amanah, pengurusan Covid-19, proses imunisasi dan vaksinasi termasuk aspek perolehan dan kontrak-kontrak pembelian vaksin,” katanya.
Sementara itu, Asyraf menjelaskan, walaupun sebahagian ahli-ahli Parlimen UMNO berada dalam kerajaan sementara Perikatan Nasional, namun mereka tidak pernah bersetuju bahkan tidak langsung dirujuk mengenai Proklamasi Darurat.
"Malah, alasan darurat kerana hendak menangani Covid-19 juga turut diragui,” katanya.