'Buang badi gerun'

Iklan
Pemain Harimau Malaya Liridon Krasniqi, Brendan Gan dan De Paula giat menjalani latihan bagi mengharungi baki kempen kelayakan kali ini. Gambar kecil: Hashim Mustapha

Legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha mahu anak buah skuad kendalian Tan Cheng Hoe membuang badi ketika berdepan pasukan dari Asia Barat apabila turun menentang Vietnam pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Sabtu ini.

Bekas pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia era 90-an itu juga meminta pemain Harimau Malaya mengubah corak permainan dan sekali gus memberikan satu keputusan yang menggembirakan dalam perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

"Pemain kita apabila bertemu pasukan dari Asia Barat mereka jadi lemah, namun apabila menentang pasukan dari negara Asia Tenggara corak permainan berlainan.

"Buang badi gerun ketika menentang pasukan Asia Barat apabila beraksi melayan Vietnam dengan pamer kemampuan sebenar nanti supaya peluang negara layak ke peringkat seterusnya kembali terbuka," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Iklan

Minggu lalu, skuad negara tewas 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Kumpulan G.

Hashim, yang menyarung jersi kebangsaan sekitar tahun 1984 sehingga 1996, juga meminta agar pemain naturalisasi diberikan peluang, ruang dan sokongan oleh peminat untuk mereka membuktikan kemampuan membantu pasukan negara.

Iklan

"Bermain untuk mana-mana negara, tekanan itu ada cuma mungkin masa tidak mencukupi kepada mereka untuk menjalani latihan dan mendapat keserasian.

"Guilherme De Paula juga telah membuat janji beliau menyertai pasukan kebangsaan ke Dubai bukan untuk bercuti semata-mata, pemain lain perlu ada sikap yang sama kerana mereka yang dipilih untuk menyarung jersi kebangsaan dibuat berdasarkan kemampuan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Hashim mahu posisi tengah skuad Harimau Malaya diberi perhatian khusus oleh barisan jurulatih berikutan posisi itu amat penting kepada mana-mana pasukan.

"Saya lihat pada perlawanan sebelum ini bahagian tengah ketara lemah, dalam perlawanan Sabtu ini pasukan negara perlu waspada kerana pemain Vietnam amat rajin bergerak serta mampu menjaringkan gol dari mana-mana posisi," katanya. - Bernama