Remaja 15 tahun singkir Khairul Anuar di Korea Selatan

Iklan
Khairul Anuar

JAGUH memanah kebangsaan, Khairul Anuar Mohamad menerima tamparan hebat apabila disingkirkan pemanah muda Bangladesh, Prodipta Chakma, pada pusingan pertama acara recurve individu lelaki di Piala Asia 2021 di Gwangju, Korea Selatan, pada Khamis.

Khairul Anuar, 29, yang menduduki ranking ke-10 dunia acara recurve itu, gagal menyaingi kehebatan panahan Prodipta apabila tewas 6-4 seterusnya menyaksikan pemanah berusia 15 tahun berkenaan mara ke peringkat suku akhir.

Iklan
Iklan

Sementara itu, dua lagi wakil negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin turut mengalami nasib serupa apabila ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing pada pusingan pertama.

Muhamad Zarif Syahiir tersungkur di tangan pemanah dari Tajikistan, Robert Nam, dengan keputusan 6-4 manakala pemanah Jepun, Hiroki Muto mudah menundukkan Muhammad Akmal, 6-0.

Iklan

Ketiga-tiga mereka selepas ini dijangka beraksi pada sebuah kejohanan di Paris, Perancis pada 18 hingga 20 Jun depan.

Tumpuan pastinya terarah kepada Muhamad Zarif Syahiir dan Muhammad Akmal yang sedang mengintai peluang untuk mara ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun, bulan depan dalam kejohanan yang turut menjadi kempen kelayakan terakhir di Perancis itu.

Iklan

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat penampilan pertamanya pada temasya di Brazil itu.

Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama