MUAR - Seorang lelaki terjun dalam sungai dipercayai akibat tekanan perasaan sebelum ditemukan lemas di Kampung Bukit Treh di sini pada Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II, Shahrizal Mohtar berkata, sebelum itu seorang nelayan melihat mangsa sedang mendayung bot.
Menurutnya, saksi berkenaan, Azhari Ramli dari Kampung Teluk Kemang kemudian melihat mangsa secara tiba-tiba telah terjun ke dalam sungai.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang Rabu.
"Seramai 11 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) dilakukan kira-kira satu kilometer (km) dari kawasan mangsa dilihat terjun termasuk di kawasan pesisiran sungai.
Menurutnya, Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor turut membantu operasi SAR tersebut.
Shahrizal berkata, mayat mangsa kemudian ditemui orang awam yang melihat satu objek terapung berhampiran Jeti BBP Muar di bandar ini pada jam 1.40 petang Khamis kira-kira 4km dari lokasi mangsa terjun.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Mangsa berkemungkinan mengalami tekanan perasaan berdasarkan nota yang ditinggalkan dan maklumat daripada keluarga mangsa. Operasi tamat pada jam 2.09 petang," katanya.