Tidak lokek kongsi ilmu rahsia kejayaan

Iklan
Alya Nur Izzah menyemak keputusan SPM sambil ditemani ibunya di rumahnya di Kampung Relong, Kuala Lipis pada Khamis.

KUANTAN - Sikap suka berkongsi ilmu difahaminya dengan rakan lain menjadi antara rahsia kejayaan Alya Nur Izzah Sharuddin, 18, yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Alya Nur Izzah yang memperoleh 11A dalam SPM yang diumumkan pada Khamis itu mengakui tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu, malah gembira apabila dia dijadikan sebagai sumber rujukan rakan-rakan yang lain.

Iklan
Iklan

"Saya tidak pernah tolak kalau kawan-kawan ada tanya tentang mata pelajaran yang mereka tidak atau kurang faham.

"Kalau mereka bertanya saya terbuka untuk ajar mereka kerana percaya berkongsi ilmu adalah amalan mulia dan akan membuatkan ilmu saya bertambah.

Iklan

"Jadi sebab itu saya sedia membantu dan jika tidak mampu saya akan memberi cadangan kepada mereka (kawan- kawan) untuk membuat rujukan menerusi pelbagai aplikasi atau 'channel' bagi membolehkan mereka memahami sesuatu mata pelajaran dengan lebih baik," katanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu ini memberitahu, belajar secara berkumpulan juga merupakan salah satu faktor kejayaannya, selain fokus pada sesi pembelajaran.

Iklan

"Saya ini bukan jenis suka belajar, tetapi saya akan fokus dengan sepenuhnya.

"Bagi subjek yang perlu banyak membaca seperti Sejarah, al-Quran dan Sunnah saya akan pastikan belajar secara berkumpulan. Kaedah ini membuatkan saya tidak jemu kerana seolah-olah belajar dalam bilik darjah," katanya yang menetap di Kampung Relong, Kuala Lipis.

Selain itu, katanya, bagi mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik, dia akan pastikan setiap malam, satu soalan atau latihan perlu dilakukan bagi memastikannya benar-benar memahami formula mata pelajaran terbabit.

Alya Nur Izzah berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan forensik di universiti dalam negara.

Sementara itu, pelajar Maahad Tahfiz Darul Ulum Al- Basriyah, Beserah, Ahmad Haziq Zahir Shah, 18, yang memperoleh keputusan 7A berkata, dia menjadikan amalan membaca al-Quran dan mengerjakan solat tahajud sebagai rutin sebelum mengulang kaji pelajaran.

Ahmad Haziq (dua dari kanan) gembira ketika melihat keputusan cemerlangnya bersama keluarga di rumahnya di Bukit Setongkol pada Khamis.

"Selepas solat Subuh saya akan menyambung semula ulangkaji dan kejayaan memperoleh (7A) amat bermakna buat saya.

"Alhamdulillah, saya dapat banggakan ayah dan ibu serta menjadi hadiah yang amat bermakna untuk pengorbanan mereka selama ini, ” katanya.

Ahmad Haziq mengakui pembelajaran secara dalam talian banyak cabaran, namun tumpuan diberikan sepenuhnya setiap kali sesi pengajian bermula.

Katanya, grup dalam aplikasi WhatsApp juga digunakan sebaiknya untuk bertanyakan subjek yang tidak difahami.