Jangan lepas peluang benam ego Vietnam

Iklan
Brendan Gan (kanan) dijangka kembali berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Vietnam pada tengah malam Sabtu ini.

TIADA apa yang diharapkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kecuali aksi terbaik dipamerkan barisan pemainnya ketika berdepan dengan Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai tengah malam Sabtu ini.

Menurut Cheng Hoe, beberapa perubahan positif telah berlaku dalam pasukan selain persefahaman antara pemain semakin baik, sekali gus memberikan tonik terbaik buat Harimau Malaya berbanding ketika pertemuan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Dalam setiap perlawanan, kita mesti ada keyakinan ketika turun menentang lawan. Banyak perkara positif telah kami bentuk selepas pertemuan menentang UAE baru-baru ini.

"Dari segi individu, pemain dah nampak perubahan terutama dapat menyesuaikan diri dengan taktikal dan persefahaman pemain. Lagipun, ini peluang terbaik untuk kita cuba menewaskan Vietnam selain mencari tiket untuk ke pusingan seterusnya.

Iklan

"Apa yang penting kami harus sentiasa fokus. Biasanya kami susah nak dapatkan peluang di hadapan gol ketika bertemu Vietnam, jadi kali ini kami kena manfaatkan sepenuhnya jika ada peluang,” katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.

Atas kertas, Vietnam yang kini menguasai kedudukan teratas Kumpulan G dianggap sebagai pilihan untuk menundukkan Harimau Malaya selain rekod kedua-dua pasukan lebih memihak kepada skuad Naga Emas itu.

Iklan

Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak mahu terlalu memikirkan mengenai rekod buruk ketika menentang Vietnam itu, sebaliknya beliau percaya anak-anak buahnya mampu melakukan kejutan.

"Setiap hari kami cuba mencari ramuan dan taktikal terbaik untuk menentang Vietnam. Saya juga sedang mencari kesebelasan utama selain cuba membentuk kombinasi terbaik dalam mencari keputusan positif.

"Saya sedar dalam beberapa perlawanan menentang Vietnam sebelum ini tidak memihak kepada kami. Tetapi kami tetap positif mampu untuk menundukkan mereka.

"Pemain juga bermotivasi, mempunyai impian dan tahu situasi ketika ini memerlukan keputusan positif untuk mara ke peringkat seterusnya,” ujarnya. Selepas pertemuan menentang Vietnam, Harimau Malaya dijadualkan bertemu Thailand pada 16 Jun ini bagi mengakhiri aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.